KKB Engineering raih kontrak dengan nilai gabungan RM351.7 juta | DagangNews Skip to main content

KKB Engineering raih kontrak dengan nilai gabungan RM351.7 juta

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Jan - KKB Engineering Berhad menerusi anak syarikatnya, OceanMight Sdn. Bhd. berjaya meraih kontrak dengan notis terhad daripada Sarawak Shell Berhad bagi penyediaan kejuruteraan, perolehan dan pembinaan platform telaga standard untuk Pembangunan Medan Gas MLNG FaS (F27, F22 dan Selasih).

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, satu lagi anak syarikatnya KKB Industries (Sabah) Sdn. Bhd. telah menerima pesanan pembelian daripada Seri Ghanimi Contractor Sdn. Bhd. untuk pembekalan paip bergaris konkrit keluli lembut.

 

"Keseluruhan kontrak yang diraih itu adalah bernilai hampir RM351.7 juta," katanya.

 

Katanya, kontrak Sarawak Shell berkuat kuasa bermula Disember 2022 sehingga siap kerja manakala tempoh kontrak Seri Ghanimi adalah selama sembilan bulan.

 

Kontrak itu bagaimanapun tidak akan memberi kesan ke atas modal saham syarikat dan dijangka menyumbang secara positif terhadap pendapatan serta aset bersih syarikat sepanjang tempoh kontrak berlangsung.

 

Faktor risiko yang mempengaruhi kontrak itu termasuk pelaksanaan seperti ketersediaan tenaga kerja mahir, bahan binaan, tukaran matawa wang selain keadaan cuaca, situasi politik serta peraturan semasa. - DagangNews.com