KKMM iktiraf peranan seni, budaya dalam menyumbang kepada ekonomi negara | DagangNews Skip to main content

KKMM iktiraf peranan seni, budaya dalam menyumbang kepada ekonomi negara

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 15 Dis - Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) mengiktiraf kepentingan peranan seni dan budaya untuk menyumbang kepada negara menerusi kemajuan ekonomi dan perspektif kemanusiaan.

 

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, pemulihan dan pembinaan semula aktiviti seni budaya secara tidak langsung akan ‘mengubati’ jiwa negara dan Keluarga Malaysia yang terkesan dengan pelbagai cabaran susulan pandemik COVID-19. 

 

Beliau berkata, industri kreatif yang merangkumi multimedia, seni budaya dan warisan bukan sahaja dilihat sebagai sumber hiburan dan pembangunan budaya malah berpotensi menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

 

"Kerajaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) mengiktiraf industri kreatif sebagai salah satu industri strategik dan berimpak tinggi yang akan diberikan tumpuan khusus.

 

"Sehubungan itu, KKMM mempelawa komuniti seni untuk bekerjasama dengan Kementerian melalui Pasukan Petugas Kreatif bagi mewujudkan ekosistem yang sistematik supaya industri kreatif negara dapat terus berkembang luas," katanya ketika merasmikan penutup Art In The City (AITC) 2021 anjuran Agensi Pembangunan Ekonomi Seni Budaya (CENDANA).

 

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif CENDANA, Izan Satrina Mohd Sallehuddin dan Pengerusi MyCreative Ventures Sdn. Bhd., Noor Azmi Mat Said.  

 

aitc

 

Penganjuran edisi ketiga AITC 2021 yang juga merupakan acara tahunan CENDANA ini telah mencapai kejayaan signifikan meskipun terpaksa disesuaikan dengan norma baharu dengan sokongan 54 rakan usaha sama yang terlibat.

 

aitcs
Izan Satrina Mohd. Sallehuddin

 

AITC 2021 menampilkan pelbagai inisiatif seperti penganjuran Forum Ekonomi Kreatif Kuala Lumpur, pengenalan Studio C di Pameran Seni Hotel CIMB, Kelas Seni Terbuka, bengkel Potongan Cukai Korporat, pelancaran kerjasama TripART, festival KLWKND, instalasi cahaya The Light Project, SENSORii, Simposium NCC50 dan banyak lagi pembangunan industri seni budaya demi memacu taraf ekonomi komuniti tempatan.

 

aitcs

 

CENDANA beriltizam untuk terus mengungguli inisiatif memacu ekonomi seni budaya Malaysia dan berusaha menjadikan Malaysia sebagai destinasi seni budaya serantau. 

 

Ia amat penting dalam usaha Kerajaan membuka semula kemasukan pelancong, meningkatkan profil ahli seni tempatan dan mempromosi bakat komuniti industri ini. - DagangNews.com