KLCCP Stapled sukar tingkatkan pendapatan meski diunjur kekal stabil - RHB Investment | DagangNews Skip to main content

KLCCP Stapled sukar tingkatkan pendapatan meski diunjur kekal stabil - RHB Investment

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 8 Feb - Potensi untuk KLCCP Stapled Group meningkatkan pendapatan dijangka sukar kerana penghunian bagi segmen pejabat dan runcit sudahpun mencecah kadar yang tinggi.

 

RHB Investment Bank berkata, malah dua segmen tersebut telah menyumbang kepada lebih 90% pendapatan bersih KLCCP Stapled pada tahun kewangan FY2023.

 

"Keputusan FY2023 yang dicatatkan KLCCP Stapled dilihat menepati jangkaan dengan pemulihan kukuh dilaporkan dalam segmen runcit dan hospitaliti.

 

"Kami berpendapat kumpulan ini akan kekalkan kestabilannya dengan sokongan daripada bahagian pejabatnya yang utama namun potensi untuk pendapatan menaik mungkin terhad," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'Neutral' firma hartanah itu dengan harga sasaran baharu RM7.59 berbanding RM7.74.

 

Kumpulan KLCCP Stapled terdiri daripada KLCC Real Estate Investment Trust (KLCC REIT) dan KLCC Property Holdings Berhad.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Untung bersih KLCCP lonjak 19% kepada RM931 juta bagi FY23, isytihar dividen interim keempat sebanyak 14.4 sen

 

Sementara itu, kata RHB Investment, nilai ringgit yang lemah mendorong harga bilik Mandarin Oriental yang tinggi dikekalkan bagi meningkatkan pendapatan bersih.

 

"Segmen hospitaliti kembali mencatat untung selari dengan bayangan pihak pengurusan, Mandarin Oriental kembali mencatat keuntungan sebelum cukai (PBT: RM3 juta) apabila kadar penghunian pulih kepada 55% (FY2022: 44%). 

 

"Hasil bagi setiap bilik yang tersedia atau RevPAR mencecah paras tertinggi iaitu RM506 untuk tahun ini, kerana pihak pengurusan menekankan peri pentingnya untuk mencapai keseimbangan antara kadar penghunian dan harga bilik supaya dapat meningkatkan pendapatan bersih.

 

"Melangkah ke hadapan, kami berpendapat harga bilik yang tinggi ini dapat dikekalkan – sebahagiannya disokong oleh nilai mata wang ringgit yang lebih lemah – apabila industri pelancongan terus memulih," jelas firma itu.

 

Menurut RHB Investment, untung teras suku keempat 2023 (4Q23) KLCCP Stapled sebanyak RM203.8 juta membawa jumlah setahun penuh kepada RM793.9 juta (+6.1% YoY), mencapai jangkaan dengan mencecah 99 hingga 104% seperti yang dianggarkan.

 

Kata RHB Investment, segmen runcit merekodkan pertambahan kunjungan pembeli-belah sebanyak 30% YoY, sekali gus menunjukkan pekanya pusat beli-belah Suria KLCC terhadap industri pelancongan. 

 

"Kadar penghunian juga meningkat kepada purata 96% buat tahun ini (FY22: 92%). 

 

"Walaupun segmen ini mencatat kadar penghunian yang amat tinggi, pihak pengurusan memberi bayangan kadar turun naik harga sewa yang mendatar. 

 

"Namun, ia menjangkakan tidak banyak risiko negatif akan timbul daripada pelaksanaan Cukai Barangan Bernilai Tinggi. Hal ini kerana bayaran sewa mengikut pendapatan hanya membentuk sebahagian kecil daripada pendapatan pusat beli-belah tersebut," katanya.- DagangNews.com