KLCI hilang momentum, turut diheret turun saham Top Glove, Hartalega | DagangNews Skip to main content

KLCI hilang momentum, turut diheret turun saham Top Glove, Hartalega

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 12 Julai - Pasaran tempatan petang ini ditutup lemah diheret turun kaunter berkaitan syarikat pengeluar sarung tangan getah terutama seperti Top Glove Corp. Bhd dan Hartalega Holdings Bhd.

 

Sentimen pasaran turut dipengaruhi kenyataan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang akan menyemak semula unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) lebih rendah kepada sekitar 4% berbanding 6 hingga 7.5% sebelum itu dengan mengambil kira situasi semasa COVID-19.

 

Ini menyaksikan indeks utama FBM KLCI susut 7.69 mata kepada 1,512.89 mata dengan 4.29 bilion saham diniagakan bernilai RM2.35 bilion. 

 

Kaunter rugi mengatasi untung pada 743 berbanding 246 manakala 394 kaunter tidak berubah. 

 

Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim berkata, kelemahan pasaran tempatan bagaimanapun berbeza dengan pasaran Asia yang lain. 

 

"Penurunan kes jangkitan harian di bawah 9,000 iaitu 8,574 kes direkodkan hari ini memberi kesan kepada kaunter berkaitan sarung tangan getah.

 

"Tetapi pada masa sama, pelabur juga beralih tumpuan kepada data inflasi Amerika Syarikat (AS) yang akan menjadi penanda aras sama tekanan inflasi adalah kekal kukuh atau lemah," katanya. 

 

Dalam penutupan petang ini, saham Top Glove susut 2.88% kepada RM3.71 manakala Hartalega jatuh 3.52% kepada RM6.86.

 

Bagi kaunter aktif pula, hampir kesemua saham mencatat penurunan didahului kaunter Managepay Systems Bhd. susut 2% kepada 24.5% diikuti Serba Dinamik Holdings Bhd. ditutup 1.1% lebih rendah kepada 45 sen. 

 

Fintec Global Bhd. juga susut 16.67% kepada 2.5 sen manakala Asdion Bhd. susut 36.14% kepada 26.5 sen.

 

Bagaimanapun, YBS International Bhd. menokok 22.54% kepada 43.5 sen diikuti NCT Alliance Bhd. naik 4.46% kepada 58.5 sen. 

 

Sementara itu, UMS Holdings Bhd. mendahului kaunter untung dengan menokok 29.61% kepada RM3.02 diikuti BP Plastics Holdings Bhd. naik 18.79% kepada RM1.96. 

 

Bagi kaunter rugi, saham Kumpulan H&L High-Tech Bhd. mendahului carta dengan ditutup rendah 18.62% kepada RM4.59 diikuti Widetech (Malaysia) Bhd., susut 18.4% kepada RM4.39. - DagangNews.com