Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 14 Sept. - Bursa tempatan bermula lemah dalam dagangan pagi ini di sebalik pasaran semalaman Wall Street yang stabil.
Setakat 9.20 pagi, indeks utama susut 0.67 mata atau 0.04% kepada 1,569.02 mata dengan 102.28 juta saham diniagakan bernilai RM56.47 juta.
Malacca Securities Research berkata, pasaran Wall Street yang kembali pulih dan kestabilan landskap politik susulan memorandum antara Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan semalam, dapat memberi sedikit kelegaan kepada penurunan dalam pasaran yang lebih meluas dengan menjadi menampan kepada aktiviti memburu saham sekurang-kurangnya pada minggu ini.
Dari segi sektor, katanya, aktiviti ini akan berterusan membabitkan saham-saham bertema pemulihan seperti perbankan, pengguna dan pelancongan terutama bagi segmen pelancongan domestik.
"Selain itu, pelabur mungkin memilih untuk memperdagangkan kaunter perladangan dan minyak dan gas (O&G) di tengah-tengah pengukuhan harga komoditi.
"Pada masa sama, kaunter berkaitan aluminium juga akan menyaksikan aktiviti dagangan sekurang-kurangnya dalam tempoh terdekat ini," katanya dalam nota kajian hari ini.
Dalam dagangan pagi ini, kaunter untung bagaimanapun mengatasi rugi pada 202 berbanding 93 manakala 240 kaunter tidak berubah dan 1,732 tidak diniagakan.
Saham-saham yang diniagakan aktif, antaranya, Dataprep Holdings Bhd., Saudee Group Bhd., Kejuruteraan Asastera Bhd., Avillion Bhd., Tanco Holdings Bhd. dan Lambo Group Bhd.
Bagi kaunter untung pula, saham Daibochi Bhd. mendahului dagangan dengan menokok 30 sen atau 12.55% kepada RM2.69.
Semalam, Scientex Bhd mengumumkan cadangan untuk menjadikan anak syarikatnya Daibochi Bhd. syarikat persendirian dengan membuat tawaran untuk memperoleh semua baki saham dan waran yang tidak dimiliki oleh pengeluar bahan pembungkusan fleksibel itu pada harga RM345.3 juta secara tunai.
Ini menyaksikan saham Scientex juga diniagakan 15 sen lebih tinggi kepada RM4.72 yang turut mendahului dagangan kaunter untung.
Selain itu, saham Widetech (Malaysia) Bhd. juga diniagakan tinggi pada RM5.78 setelah menokok 33 sen.
Sebaliknya, saham Mercury Industries Bhd. mendahului kaunter rugi susut 10 sen atau 7.94% kepada RM1.16.
Ia diikuti dengan saham BSL Corp. Bhd. dan SKB Shutters Corp. Bhd. dengan masing-masing susut 11 sen kepada RM1.81 dan 9 sen kepada RM1.80.
Sementara itu, Bloomberg melaporkan, pasaran saham Asia dilihat memulakan dagangan stabil setelah pasaran Amerika Syarikat (AS) mengalami penurunan selama 5 hari berturut-turut menjelang data inflasi yang boleh memberi impak kepada pengurangan langkah rangsangan oleh Rizab Persekutuan AS. - DagangNews.com