KLIA lapangan terbang No. 8 paling teruk di dunia, Menteri Pengangkutan jamin akan perbaiki | DagangNews Skip to main content

KLIA lapangan terbang No. 8 paling teruk di dunia, Menteri Pengangkutan jamin akan perbaiki

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 19 Mac - Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) disenaraikan sebagai lapangan terbang kelapan terburuk di Asia, menurut tinjauan yang dijalankan oleh Business Financing.

 

Tinjauan yang diperoleh berdasarkan data daripada airlinequality.com itu mengambil purata penarafan daripada individu yang melancong atas tujuan perniagaan untuk meletak penilaian lapangan terbang di peringkat global mengikut benua dan negara.

 

KLIA berkongsi skor purata yang sama dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 3.36 daripada 10.

 

Menurut airlinequality.com, pelancong sering merungut tentang kelemahan reka bentuk lapangan terbang KLIA yang menyebabkan mereka beratur panjang, terpaksa berjalan jauh untuk sampai ke terminal dan kekurangan kemudahan yang baik dan selesa.

 

Pelancong juga mengkritik sistem pelepasan Imigresen yang tidak cekap yang menyebabkan giliran lebih panjang selain pencahayaan malap di seluruh lapangan terbang turut memberikan suasana yang teruk.

 

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kerajaan akan belajar dan perbaiki daripada tinjauan tersebut.

 

Beliau bagaimanapun berkata, penarafan melalui tinjauan tidak boleh dianggap sebagai kesimpulan kerana metodologi tinjauan itu tidak diketahui.

 

Beliau menambah bahawa kerajaan lebih mengambil berat terhadap hasil tinjauan ke atas KLIA daripada firma lebih bereputasi oleh Skytrax, iaitu perunding penerbangan yang menjalankan penyelidikan dan tinjauan berhubung syarikat penerbangan dan lapangan terbang di seluruh dunia.

 

“Pertama, kita ambil pandangan itu sebagai rujukan dan pengajaran. Kadang-kadang kita tidak boleh mengambil setiap tinjauan atau setiap pandangan dan menganggapnya sebagai kesimpulan. Kami mengambil kedudukan KLIA daripada Skytrax yang lebih bereputasi. Saya rasa itu lebih berwibawa dari segi kedudukan lapangan terbang.

 

"Kita tidak boleh ambil sewenang-wenangnya kerana pada masa kini banyak tinjauan dilakukan oleh pelbagai pihak. Kadang-kadang, bagaimana mereka menjalankannya, dari mana mereka mendapatkan sumber untuk membuat kesimpulan itu, boleh dipersoalkan," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian cek di Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman (TAR UMT).

 

Loke menegaskan bahawa kerajaan tidak bersikap defensif dan mengakui kelemahan KLIA, serta sedang memperbaiki perkhidmatan aerotrain dan tuntutan bagasi di lapangan terbang bagi memastikan perkhidmatan berkualiti. - DagangNews.com