Knight Frank jangka pelaburan dalam sektor perhotelan terus melonjak selepas pembukaan sempadan antarabangsa | DagangNews Skip to main content

Knight Frank jangka pelaburan dalam sektor perhotelan terus melonjak selepas pembukaan sempadan antarabangsa

KUALA LUMPUR 12 April - Pembukaan semula sempadan antarabangsa Malaysia telah melonjakkan minat pelabur terhadap sektor perhotelan negara.

 

Berdasarkan kaji selidik Malaysian Hospitality Investment Intentions dan Knight Frank Malaysia, keutamaan dan sentimen terhadap sektor itu mendedahkan 64% daripada responden sedang mempertimbang untuk meningkatkan pendedahan mereka kepada sektor hotel Malaysia dan ia menunjukkan kenaikan ketara berbanding hanya 36% pada 2020.

 

Pengarah Eksekutif Pasaran Modal Knight Frank Malaysia James Buckley berkata, firma perunding hartanah global itu menjangkakan berlaku peningkatan jumlah transaksi hotel dalam tempoh 24 bulan akan datang apabila sentimen pelabur semakin pulih.

 

"Permintaan yang kukuh daripada percutian jangka pendek, kehadiran pelancong Singapura serta permintaan domestik akan menjadi pemacu utama prestasi perhotelan pada 2022.

 

"Kami menjangkakan volum transaksi hotel meningkat pada 2022 kerana jurang harga antara vendor dan pembeli akan mengecil apabila pelabur menjadi lebih optimistik dengan pembukaan sempadan dan peningkatan ketibaan,” katanya, hari ini, lapor Bernama.

 

Firma perunding hartanah itu menyatakan, pelabur terus mencari pulangan tinggi untuk mengimbangi risiko melabur dalam sektor berkenaan dengan 33% responden menyasarkan hasil bersih melebihi 7% apabila mengambil alih hotel empat hingga lima bintang di Malaysia.

 

fank

 

Sementara itu, 26% responden menyasarkan hasil bersih 6% hingga 7% manakala 19% akan menerima hasil bersih 5% hingga 6%. 

 

Buckley berkata,  Malaysia disenaraikan sebagai destinasi teratas daripada 140 negara dalam Indeks Perjalanan Muslim Global MasterCard CrescentRating 2021 sebagai destinasi percutian paling mesra Muslim.

 

"Kalau mengikut sejarahnya, Malaysia telah menarik kumpulan pelancong antarabangsa yang pelbagai dari seluruh dunia dan berada pada kedudukan yang baik untuk menguasai  pertumbuhan Pelancongan Halal," katanya.

 

Walaupun pembiayaan bank untuk hotel agak sukar semasa pandemik, beliau optimis bank akan menyaksikan peningkatan dalam sektor tersebut dan mula memberi pinjaman semula.

 

“Kaji selidik itu turut menunjukkan pemilik hotel Malaysia cenderung mempunyai tahap hutang yang agak konservatif.

 

Sementara itu, ia menyatakan 43% hotel mempunyai kurang daripada 49% nisbah pinjaman kepada nilai, manakala 17% tidak mempunyai hutang sama sekali.

 

Ia juga mendapati 31% mempunyai nisbah pinjaman kepada nilai antara 50% dan 69% dan 9% mempunyai kadar hutang yang tinggi melebihi 70%. - DagangNews.com