KNM dapat kontrak RM13 juta melibatkan pembinaan loji tenaga | DagangNews Skip to main content

KNM dapat kontrak RM13 juta melibatkan pembinaan loji tenaga

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 28 Sept. - KNM Group Berhad menerusi anak syarikat milik penuhnya, KNM Process Systems Sdn Bhd (KNMPS), telah meraih kontrak bernilai RM13.4 juta daripada PEC Powercon Sdn Bhd. 

 

Ini melibatkan pra pembinaan tangki bagi kemudahan loji tenaga kitaran gabungan berkuasa 1,200MW di Pulau Indah, Selangor. 

 

Menurut makluman KNM di Bursa Malaysia, bekalan dan penghantaran projek tersebut berdurasi kira-kira 11 bulan dari tarikh kontrak, yang telah dimeterai hari ini.

 

“Urus niaga ini tertakluk kepada beberapa risiko komersial dan kewangan terutamanya dalam industri tenaga, minyak, gas, petrokimia dan tenaga. 

 

“Ini melibatkan perubahan dalam keadaan ekonomi secara umum seperti, tetapi tidak terhad kepada inflasi, persekitaran, perundangan kesihatan dan keselamatan, percukaian, pertukaran mata wang asing, kadar faedah, tenaga buruh dan bekalan bahan, perubahan dalam keadaan perniagaan dan operasi seperti, tetapi tidak terhad kepada perundangan kerajaan dan berkanun serta kemerosotan keadaan pasaran.

 

“KNM sememangnya tersedia beroperasi di dalam kesemua industri ini dan oleh itu, akan terus terdedah kepada faktor risiko yang ketika ini dihadapi semasa beroperasi di dalam industri tersebut," jelas kumpulan. 

 

Walaupun KNM dengan pengalamannya yang luas boleh berusaha untuk mengurangkan pelbagai faktor risiko, namun tiada jaminan bahawa setiap perubahan pada faktor risiko di atas tidak akan memberikan impak buruk material terhadap perniagaan dan operasi KNM.

 

KNM mengunjurkan urus niaga tersebut bakal menyumbang secara positif kepada perolehan kumpulan untuk tahun kewangan yang berakhir pada 31 Disember 2021 serta 31 Disember 2022.

 

KNMPS telah diperbadankan pada 28 Jun 1990, di mana secara dasarnya terlibat dalam mereka bentuk, kejuruteraan, perolehan dan pembuatan proses peralatan melibatkan industri minyak, gas, petrokimia, mineral dan tenaga boleh diperbaharui.

 

PEC Powercon sebaliknya terlibat dalam aktiviti pembinaan bangunan, dan mula diperbadankan pada 18 Februari 2020. 

 

Pada penutupan dagangan petang ini, saham KNM berjaya berakhir di kaunter paling aktif diniagakan, menokok 0.5 sen lebih tinggi kepada 25 sen. - DagangNews.com