Kok Kian Kee dilantik sebagai CEO baharu The Food Purveyor | DagangNews Skip to main content

Kok Kian Kee dilantik sebagai CEO baharu The Food Purveyor

Kok Kian Kee
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 12 Dis - The Food Purveyor (TFP) mengumumkan pelantikan Kok Kian Kee sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu berkuat kuasa mulai 1 Disember 2022 bagi menggantikan Geoff King yang bersara pada 30 November 2022.

 

Kok Kian Kee atau dikenali sebagai KK bersama TFP sebagai Ketua Pegawai Dagangan sejak Jun 2020 dan berpengalaman selama 32 tahun dalam peruncitan makanan dengan peruncit gergasi di seluruh pasaran.

 

KK berkata, beliau percaya TFP mempunyai model perniagaan hebat dan pasukan pengurusan berbakat yang mampu menguasai persekitaran pasaran dan pengguna yang sentiasa berubah. 

 

"Saya percaya TFP mampu melonjak ke arah modul omni-channel untuk menyediakan akses mudah kepada barangan runcit dan terus menawarkan rangkaian produk dan perkhidmatan tiada tandingan kepada pelanggan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Pengarah Eksekutif Kumpulan TFP, Ivan Tan berkata, kepimpinan dan pengalaman KK yang kukuh akan memimpin mereka ke era baharu dengan strategi jangka panjang, ekosistem lebih baik dan potensi pengembangan geografi.

 

Sepanjang tempoh dengan TFP, KK telah menyumbang dalam penambahbaikan proses komersil dan strategi, pengoptimuman kos dan memperkenalkan jenama eksklusif terkenal dari Australia 'Woolworths' yang menyumbang kepada pencapaian objektif perniagaan. 

 

Asas latar belakang pengalaman KK yang luas dibina daripada pelbagai peruncit utama di Malaysia, Carrefour, Tesco Stores, Dairy Farm International dan seterusnya. 

 

 

tfp
                                                                        Geoff King

 

 

KK pernah bekerja di luar negara dengan Super Value Stores di Papua New Guinea. Semasa berkhidmat di Dairy Farm International, beliau memegang jawatan sebagai Ketua Hasil Komersial Segar. 

 

Beliau juga telah membangunkan dan merancang strategi pemerolehan hasil segar untuk negara-negara di Asia Tenggara.

 

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Kumpulan TFP, Ong Kim Too berkata, sejak 2018 Geoff telah memainkan peranan penting dalam pembangunan dan kejayaan organisasi.

 

Geoff pula berkata, beliau telah mengetuai pasukan berbakat yang menakjubkan sejak empat tahun lalu dalam pembinaan The Food Purveyor sehingga pencapaiannya hari ini. 

 

"Sepanjang tempoh ini, saya bekerjasama dengan ramai rakan kongsi perniagaan kami demi memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan kami," katanya. - DagangNews.com