KUALA LUMPUR 22 April - Harga biji koko dunia pada hujung bulan lalu melambung melebihi 100% berbanding awal tahun ini hingga mencecah paras tertinggi dalam sejarah minggu lalu di pasaran hadapan Bursa London dan New York.
Keadaan ini disebabkan kekurangan bekalan biji koko akibat faktor cuaca dan penyakit pokok di negara-negara pengeluar utama komoditi itu di Afrika Barat.
Sehubungan itu, Nestlé (Malaysia) Bhd - pengeluar minuman malt coklat yang terkenal di Malaysia - bersedia untuk membuat penyelarasan harga bagi produk terpilih sebagai respons kepada lonjakan harga koko global.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Juan Aranols berkata, bagaimanapun syarikat itu menyasarkan untuk memastikan kenaikan harga yang minimum dengan pelarasan sederhana untuk produk tertentu.
ARTIKEL BERKAITAN: Penurunan nilai ringgit, kenaikan harga bahan mentah dijangka menjejaskan kos operasi Nestle Malaysia pada FY24 - Maybank IB
“Syarikat itu berhati-hati dengan kenaikan harga, yang boleh menjejaskan kuasa beli pelanggan.
"Bagaimanapun, disebabkan ketidaktentuan dalam pasaran komoditi - sudah tentu, tidak semua dipindahkan kepada pengguna - mungkin terdapat beberapa kenaikan harga yang perlu kami lakukan dalam beberapa bulan akan datang," katanya.
Aranols berkata demikian kepada pemberita selepas pelancaran Peraduan Gaji Seumur Hidup 2024 Nestlé di ibu negara hari ini.
Pada awal 2024, biji koko berharga AS$4,200 setiap tan dan nilainya terus melambung mencecah AS$10,558 satu tan minggu lalu bagi pasaran hadapan bulan Mei, memetik laporan Bloomberg.
ARTIKEL BERKAITAN: Kos pengeluaran syarikat F&B dijangka terus meningkat kesan ketidakstabilan harga komoditi global - MIDF Research
Memandang ke hadapan, Aranols berkata, Nestlé Malaysia menjangkakan sentimen pengguna yang lemah tahun ini, disebabkan faktor seperti inflasi makanan, didorong oleh harga komoditi antarabangsa.
Dalam pada itu, Aranols berkata, pelbagai faktor yang mempengaruhi sentimen pengguna tahun ini seperti inflasi dalam makanan yang dipacu situasi komoditi global.
"Semua ini akan memberikan impak, bukan hanya makanan namun sentimen pengguna juga sedikit perlahan.
“Bagaimanapun, kami kekal positif dan komited untuk menyediakan produk selamat, berkualiti tinggi yang menyerlah berbanding pesaing,” katanya.- DagangNews.com