Soalan ini ditanyakan kepada saya baru-baru ini. Hujahnya ialah dengan adanya teknologi, semua waris boleh membuat sendiri urusan pusaka tanpa perlu menggunakan perkhidmatan profesional pihak ketiga seperti syarikat amanah atau peguam yang mengenakan fi perkhidmatan yang tinggi.
Kenapa perlu disusahkan waris menuntut harta pusaka yang terpaksa melalui pelbagai jenis undang-undang sehingga nilai harta pusaka tertunggak kini dinyatakan mencecah RM100 bilion?
Saya sudah terlibat dengan industri ini semenjak 1998. Bermakna sudah 27 tahun saya membantu umat Islam menguruskan harta pusaka. Wasiyyah sendiri sudah berumur 21 tahun. Saya melihat bagaimana industri harta pusaka ini berevolusi di depan mata.
Izinkan saya memberikan jawapan kepada soalan ini dari sudut dua dimensi utama terlebih dahulu (sebenarnya ada banyak dimensi kepada persoalan ini) dan berharap agar masyarakat melihat isu ini dengan lebih objektif.
Dimensi pertama : Isu harta pusaka tertunggak bukan berlaku semenjak semalam
Isu harta pusaka tertunggak sehingga nilai mencecah RM100 bilion itu bukanlah baru berlaku semalam. Ia adalah hasil daripada timbunan ribuan kes semenjak puluhan malah ada yang ratusan tahun lepas!
Persoalan yang perlu kita tanya diri sendiri dan cari jawapannya dengan rasional ialah kenapa ia berlaku?
Ramai yang dengan mudahnya menudingkan jari kepada pihak Kerajaan dengan hujah undang-undang berkaitan harta pusaka itu disusahkan sehingga menyebabkan usaha waris-waris untuk menuntut harta pusaka terbantut. Sepatutnya undang-undang itu dipermudahkanlah supaya urusan tuntutan harta pusaka menjadi lebih lancar dan mudah serta kosnya pun murah.

Pengalaman mengajar saya bahawa isu ini tidak boleh dibebankan kepada satu pihak sahaja. Kerajaan memang bertanggungjawab untuk memastikan perundangan berkaitan harta pusaka ini diperkemaskan selaras dengan perkembangan semasa. Ia bukan sahaja isu undang-undang malah terkait isu hukum yang impaknya ialah dosa dan pahala, halal dan haram.
Isu ini tidak boleh dipermudahkan. Meringkaskan urusan harta pusaka secara semborono supaya ia cepat dan mudah hanya akan membawa risiko terlepas pandang isu ini.
Pada saya, masyarakatlah yang sebenarnya mempunyai tanggungjawab lebih besar untuk menangani isu harta pusaka tertunggak ini. Bagi kes harta pusaka ahli keluarga yang telah meninggal dunia, berapa ramai waris yang dengan segera mengambil inisiatif mahu menguruskan harta pusaka secepat mungkin bagi mengelakkan harta pusaka terbeku daripada berlaku?
Dalam banyak kes yang saya temui, walaupun waris-waris mungkin ada berbincang, namun usaha-usaha mengisi borang berkaitan, mengumpul semua dokumen harta simati dan formula agihan harta pusaka sama ada mengikut hukum faraid atau permuafakatan serta membuat permohonan secara rasmi kepada agensi-agensi berkenaan, kebiasaannya akan dibuat mengikut kelapangan waktu waris-waris.
Realitinya kebanyakan waris sibuk dengan urusan kehidupan masing-masing. Adakah mereka sanggup mengambil cuti untuk pergi ke semua agensi berkenaan bagi melalui proses ini?
Adakah waris yang menggerakkan inisiatif ini sanggup mengeluarkan terlebih dahulu perbelanjaan sendiri untuk kos pengangkutan, perjalanan, hotel, fi carian dan lain-lain perbelanjaan berkaitan urusan ini?
Pengalaman menunjukkan bahawa dua isu besar ini iaitu MASA dan PERBELANJAAN ialah faktor halangan utama penyebab kepada isu harta pusaka tertunggak.
Bagi mengelakkan harta pusaka milik kita pula bermasalah, kita perlu faham dengan jelas isu perundangan dan hukum berkaitan hari ini ketika masih hidup. Persoalan saya kepada masyarakat ialah adakah anda mahu duduk mendengar dan memahami isu ini sekarang ketika anda masih hidup?
Saya telah bermusafir ke seluruh Malaysia berceramah dan berkongsi pengalaman tentang isu harta pusaka dan saya boleh katakan bahawa minat masyarakat untuk memahami isu ini sebenarnya masih rendah walaupun relatifnya lebih baik berbanding 20 tahun lepas.
Jika anda serius untuk mengelakkan harta pusaka anda bermasalah selepas anda mati, kita ambillah tindakan merancang harta mengikut kaedah yang selaras dengan undang-undang dan hukum Syarak.

Itulah sebenarnya objektif utama kewujudan Wasiyyah. Kami mahu membantu masyarakat merancang harta dengan baik semasa mereka masih hidup supaya selepas mereka mati, urusan harta pusaka itu dapat dibuat dengan lancar. Jika ini dapat berlaku, maka kuranglah kes pusaka tertunggak di masa hadapan.
Dimensi kedua : Perbalahan sesama waris akibat harta pusaka semakin sengit
Saya antara ‘orang tua’ di dalam industri. Antara cabaran yang paling sukar saya depani ialah untuk mendidik masyarakat supaya merancang harta semasa mereka masih hidup.
Saya selalu tekankan betapa jika harta itu sudah dirancang dengan baik sama ada melalui hibah, wasiat atau instrumen yang lain, secara relatifnya ia lebih mudah untuk diuruskan berbanding dengan harta yang tidak dirancang. Saya berani katakan begitu kerana saya melihat di hadapan mata sendiri (bukan sekadar dari pembacaan atau cakap-cakap orang) perbezaannya.
Namun sangat ramai orang yang saya temui mengatakan MUSTAHIL waris mereka akan bergaduh kerana harta pusaka. Mereka merasakan mereka sudah mendidik waris mereka sebaik mungkin dan hubungan mereka semuanya baik belaka.
Mereka berpandangan bahawa ia satu pembaziran untuk mengeluarkan belanja membuat hibah atau wasiat kerana semua waris mereka PASTI akan bermuafakat! Dalam fikiran mereka semua syarikat amanah ataupun peguam ini hanya mementingkan keuntungan semata-mata. Mereka gagal melihat bahawa kerja kami akan menjadi sangat sukar apabila timbul perbalahan di antara waris-waris.
Hakikatnya sebagai orang yang telah 27 tahun bergelumang di dalam isu harta pusaka di Malaysia, saya sudah melihat dengan mata kepala sendiri bagaimana kes perbalahan harta pusaka menjadi semakin sengit dari hari ke hari.
Jika dulu, daripada 20 kes harta pusaka, mungkin satu saja yang berdepan cabaran perbalahan waris, hari ini ia sudah meningkat sehingga mungkin 5 atau 6 kes! Bagaimana saya tahu? Kerana saya orang dalam industri yang setiap hari berdepan cabaran ini. Saya bukan orang luar industri yang hanya berteka-teki tanpa fakta.

Para pembaca harus faham bahawa generasi zaman dahulu, zaman sekarang dan zaman akan datang adalah berbeza sifatnya. Generasi zaman dahulu sangat menitikberatkan hubungan silaturrahim dan hormat-menghormati. Mereka mungkin berkecil hati sesama sendiri tetapi tidaklah sehingga berbalah secara terbuka.
Pastinya ia berbeza dengan generasi Tiktok hari ini yang terdedah dengan pelbagai pengaruh media sosial. Mereka lebih lantang dan tidak akan teragak-agak untuk berbalah secara terbuka. Ditambah pula dengan faktor tekanan ekonomi dan keperluan kewangan yang semakin mendesak, perbalahan harta pusaka menjadi semakin sengit hari ini.
Dua dimensi yang saya ulas ini adalah sebab utama kenapa perkhidmatan rofesional pihak ketiga seperti Wasiyyah (syarikat amanah) dan peguam diperlukan.
Dengan pengalaman luas dan pengetahuan teknikal yang baik mengenai isu perundangan dan hukum-hakam, pastinya urusan harta pusaka pelanggan kami dapat dilalui dengan lebih mudah dan lancar.
Tiada waris diketepikan dan harta pusaka dapat diturun milik dengan cepat supaya manfaat harta itu dapat dinikmati oleh generasi seterunya. Pilihan di tangan anda. - DagangNews.com
KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH









