Konflik Timur Tengah berpotensi ganggu pertumbuhan eksport Malaysia - Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Konflik Timur Tengah berpotensi ganggu pertumbuhan eksport Malaysia - Kenanga Research

Pertumbuhan eksport Malaysia terdedah kepada faktor luaran, kata Kenanga Research. - Gambar hiasan Pelabuhan Pulau Pinang MMC
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 22 April - Prestasi eksport Malaysia masih mudah terdedah kepada faktor luaran terutamanya potensi gangguan daripada peningkatan ketegangan geopolitik di Timur Tengah.

 

Kenanga Research berkata, ini termasuk kemungkinan perang dan sekatan berpanjangan yang boleh mengganggu rantaian bekalan global dan aktiviti perdagangan.

 

Kata firma penyelidikan itu, keseluruhannya pertumbuhan eksport dijangka bertambah baik secara beransur-ansur pada bulan-bulan akan datang, mencatatkan pengembangan dua angka menjelang akhir tahun.

 

"Ini sebahagian besarnya disebabkan oleh potensi perubahan dalam kitaran naik teknologi pada separuh kedua tahun 2024 (2H24) dan pemulihan ekonomi China yang stabil disokong rangsangan kerajaan yang berterusan.

 

"Selain itu, pertumbuhan mungkin disokong oleh permintaan daripada ekonomi serantau dan prestasi yang lebih baik daripada jangkaan daripada ekonomi maju.

 

"Namun begitu, prestasi eksport masih terdedah kepada faktor luaran terutamanya potensi gangguan daripada peningkatan ketegangan geopolitik di Timur Tengah termasuk kemungkinan perang dan sekatan berpanjangan, yang boleh mengganggu rantaian bekalan global dan aktiviti perdagangan," katanya dalam nota penyelidikan.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Eksport Malaysia Mac 2024 susut RM1 bilion, produk sawit catat penurunan tertinggi - DOSM

 

Firma penyelidikan itu juga mengekalkan ramalan pertumbuhan eksport 2024 pada 9.4% (2023: -8.0%).

 

Sementara itu, Kenanga Research berkata, data perdagangan luar negeri Malaysia pada Mac 2024 menunjukkan eksport ke destinasi utama menunjukkan prestasi yang lemah. 

 

Katanya, walaupun pertumbuhan kekal disokong oleh eksport positif ke Amerika Syarikat (3.0%; Feb: 10.1%), kadar itu adalah yang paling perlahan dalam tiga bulan. 

 

"Sementara itu, eksport ke Kesatuan Eropah (-10.3%; Feb: -1.8%), Singapura (-6.8%; Feb: -15.3%) dan China (-2.1%; Feb: -0.4%), kekal lemah, dengan penghantaran ke Jepun (-5.4%; Feb: 5.7%) jatuh ke paras terendah dalam tempoh empat bulan," jelasnya.

 

Kenanga Research berkata, pertumbuhan mengikut sektor pula disokong oleh pemulihan kecil dalam segmen pembuatan iaitu 0.7%.

 

Katanya, pembuatan adalah sektor terbesar menyumbang 85.2% bahagian eksport keseluruhan.

 

"Eksport lemah minyak sawit & produk berasaskan sawit (-22.8%; Feb: -10.9%), diikuti oleh produk petroleum (-9.9%; Feb: -14.0%) dan Produk Elektrik & Elektronik (E&E) (-1.5%; -9.7%)," ujarnya.- DagangNews.com