Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]
KUALA LUMPUR 27 Dis - Coastal Contracts Bhd mengumumkan konsortium yang diketuai oleh syarikat usaha samanya (JV), Coastoil Dynamic SA de CV (CD) berjaya memperoleh projek pembinaan loji penyaman gas di Mexico bernilai RM4.5 bilion.
Pengerusi Eksekutif Coastal Contracts, Ng Chin Heng berkata, CD telah memeterai perjanjian perkhidmatan dengan Pemex Exploracion dan Produccion, anak syarikat syarikat petroleum milik negara Mexico, Petroleos Mexicanos (Pemex).
"Kami gembira telah memperoleh kontrak penyaman gas darat kedua di Padang Ixachi di Mexico.
"Coastal telah menjejakkan kaki di Mexico sejak tahun 2013 apabila mula-mula menandatangani perjanjian sewa bot barebot untuk Agosto12, unit perkhidmatan pemampatan gas Pemex.
"Hubungan kerja saling mempercayai kami dengan Nuvoil telah mewujudkan sinergi untuk kedua-dua pihak menceburi projek loji gas darat di Mexico,” katanya.
Tambahnya, kemenangan kontrak mega bernilai RM4.5 bilion itu merupakan rekod bagi kumpulan itu dalam sejarah lebih 40 tahun.
“Kami sangat optimistik untuk meneruskan lebih banyak projek berkaitan rantaian nilai pengeluaran Pemex di tengah-tengah pemulihan industri yang stabil.
"Dengan harga minyak berlegar sekitar AS$70 (RM293.47) setong dan kekurangan pelaburan dalam industri dalam beberapa tahun kebelakangan ini, syarikat minyak utama dijangka meningkatkan perbelanjaan perbelanjaan modal pada tahun 2022. Kami percaya bahawa Coastal Contracts dan syarikat JV kami akan dapat memanfaatkan peluang ini,” katanya.
Perjanjian tersebut adalah untuk menjalankan projek loji penyaman gas darat, iaitu Loji EMC Papan dengan kapasiti 300 juta kaki padu standard sehari (MMSCFD) di Padang Ixachi, Tierra Blanca, Veracruz, Mexico.
Katanya, skop kerja kontrak tersebut terdiri daripada kejuruteraan, perolehan, pembinaan, operasi dan penyelenggaraan loji penyaman gas serta infrastruktur berkaitan. -DagangNews.com