Kontena Nasional memperoleh 30 unit prime mover Volvo FM440 6x2 T RAS | DagangNews Skip to main content

Kontena Nasional memperoleh 30 unit prime mover Volvo FM440 6x2 T RAS

KUALA LUMPUR 4 April - Perintis industri logistik Malaysia, Kontena Nasional Berhad iaitu anak syarikat MMC Corporation Berhad (MMC) berjaya memperoleh 30 unit penggerak utama (prime mover) Volvo FM440 6x2 T RAS daripada Volvo Trucks Malaysia.

 

Majlis penyerahan kenderaan itu diadakan pada 29 Mac 2022 di pusat pengedaran Volvo Trucks Malaysia di Port Klang. 

 

Majlis berkenaan merangkumi pembentangan model berskala kecil dan penyerahan replika kunci kepada Ketua Pegawai Eksekutif Kontena Nasional, Nik Muzani Nik Abd Aziz. 

 

Beliau berkata, sejumlah 20 unit daripada jumlah keseluruhan lori kontena berjaya diserahkan manakala bakinya dijangka sampai pada penghujung April 2022.

 

"Prime mover baharu itu adalah sebahagian daripada pelan perkembangan perniagaan dalam mencapai kecemerlangan logistik dalam menyediakan perkhidmatan berkualiti kepada pelanggan.

 

"Ia juga akan membantu kesediaan pengangkutan kami dalam meneroka pasaran baharu yang lebih luas," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Sejak mula ditubuhkan pada 1971, Kontena Nasional telah mengembangkan perniagaan termasuk penghantaran kargo antarabangsa, pergudangan, pengedaran, penyelesaian rantaian bekalan dan logistik halal selaras dengan visinya. - DagangNews.com