Kontrak baharu LCS dimeterai pada LIMA, TLDM jangka terima kapal pertama 2026 | DagangNews Skip to main content

Kontrak baharu LCS dimeterai pada LIMA, TLDM jangka terima kapal pertama 2026

TLDM menjangkakan perolehan kapal pertama LCS dapat diserahkan pada 2026 atau kira-kira tiga tahun lagi.
oleh ZAKI SALLEH

LUMUT 27 April - Pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang tertangguh akan dimulakan setelah kontrak tambahan dimeterai pada Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2023 bulan depan.

 

Kerja-kerja tersebut dijangka disambung semula dalam tempoh tiga bulan selepas perjanjian dimeterai.

 

Sehubungan itu, TLDM menjangkakan perolehan kapal pertama LCS ini dapat diserahkan pada 2026 atau kira-kira tiga tahun lagi.

 

Bagi projek kapal misi pesisir (LMS) Batch II pula, ia akan diterima secara berperingkat-peringkat mulai tahun 2027.

 

Penerimaan kapal-kapal tersebut sangat penting bagi TLDM untuk memikul tanggungjawab mengawasi perairan negara.

 

Panglima TLDM, Laksamana Datuk Abdul Rahman Ayob berkata, ketika ini tahap kesiapsiagaan angkatan tersebut adalah memuaskan sahaja berdasarkan aset sedia ada.

 

 

parafrasa
Laksamana Datuk Abdul Rahman Ayob memeriksa perbarisan pada Hari TLDM ke-89 di Pangkalan TLDM Lumut.

 

 

Menurut beliau, banyak lagi peningkatan yang diperlukan untuk TLDM berada pada tahap sepertimana dirancang.

 

"Dengan keadaan persekitaran yang mencabar khususnya di Laut China Selatan, kita akan lakukan apa sahaja berdasarkan apa yang kita ada.

 

"Banyak yang boleh dilakukan untuk memastikan kita berada pada tahap lebih baik termasuk perolehan LCS dan LMS batch kedua yang memberi kita dimensi keupayaan tempur berbeza.

 

"Semua ini akan berlaku pada 2026 dan 2027, tetapi penting kita mulakan daripada sekarang," katanya.

 

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri perbarisan sambutan Hari Ulangtahun TLDM Ke-89 di Pangkalan TLDM Lumut di sini.

 

 

tldm

 

Abdul Rahman berkata, pelaksanaan semula projek LCS dan kelulusan projek LMS akan menyuntik semangat baharu serta meningkatkan moral warga TLDM.

 

Menyentuh projek LMS Batch II pula, beliau berharap kaedah perolehan dapat dimuktamadkan tahun ini mengikut ciri-ciri kapal yang dikehendaki.

 

 

tldm
TLDM terpaksa bergantung pada kapal-kapal peronda berusia lebih 40 tahun disebabkan kekurangan aset.

 

 

"Perkara ini telah dibincangkan dan ditetapkan dengan TLDM telah mengenal pasti model kapal berpotensi menjadi LMS kumpulan kedua ini.

 

"Tiga buah kesemuanya untuk batch kedua LMS yang mempunyai keupayaan tempur serta saiz lebih besar berbanding kapal kumpulan pertama," ujarnya.

 

Kerajaan sebelum ini mengumumkan bahawa perolehan LMS Batch II dibuat menggunakan kaedah Government-to-Government bagi mengelak sebarang kelewatan dalam pembinaannya.

 

 

parafrasa
Korvet kelas Ada buatan Turkiye antara disebut sebagai calon LMS Batch II TLDM.

 

 

Antara yang disebut-sebut ialah korvet kelas Ada buatan Turkiye dan Sigma dari Belanda.

 

TLDM merancang untuk mendapatkan lapan buah LMS Batch II dengan anggaran perbelanjaan sebanyak RM6 bilion menerusi dua fasa pembinaan. - DagangNews.com