Kontrak baharu lonjak jumlah projek Kerjaya Prospek kepada RM266.1 juta - Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Kontrak baharu lonjak jumlah projek Kerjaya Prospek kepada RM266.1 juta - Kenanga Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Jan - Kejayaan meraih dua kontrak baharu bernilai RM95.1 juta daripada Eastern & Oriental Berhad (E&O) di Pulau Pinang meningkatkan jumlah projek Kerjaya Prospek Group Berhad kepada RM266.1 juta.

 

Kenanga Research berkata, buku tender kumpulan itu berjumlah RM2 bilion terdiri daripada pembinaan bangunan dan penambakan daripada anak syarikay E&O selain pembinaan gudang syarikat multinasional melalui syarikat kerjasama dengan Samsung C&T.

 

Katanya, kumpulan itu turut terlibat dengan kerja pembangunan pihak ketiga di Lembah Klang.

 

"Kami mengekalkan unjuran pendapatan FY23 dan FY24 kumpulan itu tetapi pada masa sama memperkenalkan untung bersih FY25 dengan pertumbuhan pendapatan sebanyak 12% berdasarkan kemenagan kontrak sebanyak RM1.6 bilion," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Kerjaya Prospek raih 2 kontrak bernilai RM95.1 juta bagi projek pembinaan di Pulau Pinang

 

Terdahulu, kumpulan itu turut menerima kontrak bernilai RM170.94 juta daripada E&O pada 3 Januari lalu, bagi pembangunan bangunan 45 tingkat di Pulau Andaman.

 

Firma penyelidikan itu menyukai kumpulan itu berdasarkan kaedah pembinaan yang inovatif dengan itu margin tinggi selain pengurusan yang praktikal serta memiliki rekod prestasi cemerlang.

 

Selain itu katanya, kumpulan itu memiliki keterlihatan pendapatan yang kukuh disokong oleh buku pesanan tertunggak yang besar dan pesanan berulang.

"Kami mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) yang lebih tinggi sebanyak RM1.90 sesaham," katanya.- DagangNews.com