Kontrak MRT3 memaksimumkan penyertaan kontraktor tempatan, bumiputera | DagangNews Skip to main content

Kontrak MRT3 memaksimumkan penyertaan kontraktor tempatan, bumiputera

Gamuda mempunyai kelebihan untuk meraih kontrak terbesar dalam MRT3. - Gambar : Facebook Gamuda
Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 7 Jun - Tender bagi projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3) yang memerlukan pembentukan konsortium akan menggalakkan penyertaan kandungan tempatan dalam industri rel, menurut CGS-CIMB Research. 

 

Penganalisisnya, Sharizan Rosely berkata, semakan yang dijalankan dengan beberapa kontraktor mendapati, mereka perlu membentuk usaha sama dengan syarikat bumiputera sekurang-kurangnya 20 hingga 31% pegangan. 

 

Katanya, keperluan itu membabitkan ketiga-tiga pakej MRT3 iaitu CMC301, CMC302 dan CMC303 seperti diumumkan Mass Rapid Transit Corporation Sdn. Bhd. (MRT Corp.) 2 minggu lalu.

 

"Bagi pakej terbesar MRT3 yang membabitkan skop kerja-kerja terowong (CMC303), syarikat kontraktor mempunyai pilihan untuk membentuk usaha sama dengan kontraktor asing dengan pegangan sehingga 49%.

 

"Ini adalah tambahan kepada minimum 20% pegangan bagi syarikat kontraktor bumiputera," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Pada 27 Mei lalu, MRT Corp. mengeluarkan 3 pakej tender kepada kontraktor yang layak dengan tender pertama ialah pakej CMC301 bagi mereka bentuk, membina dan menyiapkan laluan jejambat, stesen bertingkat, depot dan lain-lain kerja berkaitan dari Pandan ke Jalan Cheras.

 

Pakej kedua CMC302 membabitkan kerja mereka bentuk, membina dan menyiapkan laluan jejambat, terowong, stesen-stesen, depot, struktur sampingan dan lain-lain kerja berkaitan dari Jalan Cheras ke Pantai Dalam serta Jalan Kuching ke Pandan.

 

Bagi pakej terakhir iaitu CMC303 pula membabitkan kerja mereka bentuk, membina dan menyiapkan laluan jejambat, terowong, stesen-stesen, struktur sampingan dan lain-lain kerja berkaitan dari Pantai Dalam ke Jalan Kuching.

 

mrt corp

 

 

Tarikh serahan bagi Tender CMC301 adalah pada 30 Ogos 2022, manakala bagi Tender CMC302 dan CMC303 adalah pada 2 Ogos 2022.

 

Bagi tender CMC301 dan CMC302 hanya terbuka kepada kontraktor tempatan. Penyertaan kontraktor bumiputera adalah diwajibkan dengan bilangan kontraktor yang menyertai usaha sama atau konsortium mestilah sekurang-kurangya 50% daripada rakan usaha sama/konsortium.

 

Sharizan berkata, semua pihak akan tertumpu kepada pusingan tender MRT3 beberapa bulan akan datang, penghantaran tender pada Ogos dan penyerahan kontrak menjelang akhir tahun ini.

 

Beliau menyifatkan tender berkenaan sebagai kontrak terbesar yang dilancarkan dalam sektor pembinaan negara selepas 2 tahun berdepan dengan pandemik COVID-19.

 

Jelasnya, perbezaan utama antara struktur pembidaan projek bernilai RM31 bilion berbanding MRT2 adalah ketiadaan rakan penyampaian projek (PDP) dan mewujudkan kontraktor turnkey/usaha sama utama untuk mengetuai pelaksanaan daripada setiap 3 pakej kerja awam peringkat 1.

 

"Satu lagi perbezaan utama ialah semua penyerahan tender untuk 3 kerja sivil peringkat 1 dikehendaki menyertakan skim/cadangan pembiayaan sektor swasta untuk 2 tahun pertama pembinaan (2023-2024).

 

"Berdasarkan pemahaman kami tentang rancangan pembiayaan MRT3, skim pembayaran tertunggak yang dibiayai kerajaan akan bermula dari tahun 3 hingga projek siap pada tahun kelapan. 

 

"Kementerian Kewangan sebelum ini berkata ia akan mengumpul bon sebanyak RM50 bilion untuk tujuan ini," jelasnya.

 

Secara dasarnya, Sharizan berpendapat, Gamuda Bhd. dan IJM Corp. Bhd. sebagai calon paling layak untuk memperoleh pakej peringkat 1. 

 

Ini kerana menurutnya, Gamuda mempunyai kepakaran kerja-kerja terowong sejak MRT1 dan MRT2 (menerusi usaha sama MMC-Gamuda) dan dilihat berkemmampuan untuk meraih tender CMC303 yang dianggarkan bernilai RM13 bilion. 

 

"Bagi IJM Corp. pula, kumpulan menyasarkan untuk memperoleh kontrak baharu bernilai RM3 bilion dalam tahun kewangan 2023 (FY23), termasuk kontrak rel dan kumpulan boleh menjadi calon yang berdaya maju untuk pakej CMC302 pada pandangan kami (anggaran RM14.7 bilion) memandangkan pengalaman relnya yang luas dalam skop kerja-kerja atas tanah.

 

"Sementara itu, HSS Engineers Bhd. pula telah memperoleh perkhidmatan perundingan awal RM11.3 juta untuk MRT3 dan berpeluang mendapatkan pakej Perundingan Pengurusan Projek (PMC) bernilai lebih tinggi. Ia memperoleh kontrak RM159 juta daripada MRT2 (laluan Putrajaya) dan kontrak RM290 juta sebelum MRT3  sebagai dibatalkan pada 2018," katanya.

 

CGS-CIMB secara keseluruhan mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap sektor pembinaan dengan saham pilihan utamanya ialah Gamuda, IJM Corp. dan HSS Engineers.

 

Firma itu memberi saranan 'tambah' kepada Gamuda, IJM Corp dan HSS Engineers dengan harga sasaran masing-masing pada RM4.25, RM2.09 dan 68.5 sen. - DagangNews.com