Kontrak perolehan SPANCO hanya rugikan negara, kata PM Anwar | DagangNews Skip to main content

Kontrak perolehan SPANCO hanya rugikan negara, kata PM Anwar

Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan amanat pada Perhimpunan Bulanan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya pada 5 Februari 2024. - Gambar Facebook Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR 5 Feb - Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan kontrak perolehan syarikat membekal dan menguruskan kenderaan kerajaan, Spanco Sdn Bhd (SPANCO) hanya merugikan negara.

 

Perdana Menteri berkata, beliau tahu kontrak terbabit juga tidak menyenangkan penjawat awam yang menggunakan kemudahan berkenaan.

 

"Semua saudara terbabit dalam penggunaan kemudahan SPANCO (membekalkan kenderaan kerajaan) dan tindakan serta sikap saya keras terhadap SPANCO itu sejak saya jadi Menteri Kewangan dahulu.

 

"Saya tidak tahu di mana salahnya, tetapi saya tahu peraturan itu tidak betul, saya tahu ia merugikan negara, saya tahu ia tidak menyenangkan penjawat awam, tetapi kita lesu tidak berupaya berbuat apa-apa kerana tidak ada ketegasan dan tekad politik untuk bertindak," katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Perhimpunan Bulanan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini, lapor Berita Harian (BH).

 

BH sebelum ini melaporkan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat sebuah syarikat yang memperoleh kontrak membekal dan menguruskan kenderaan kerajaan.

 

Difahamkan, SPRM juga sudah merakamkan keterangan beberapa saksi penting termasuk daripada agensi kerajaan serta individu dari syarikat terbabit yang sebelum ini memperoleh kontrak membekal serta menguruskan 'fleet' kenderaan kerajaan bernilai RM4.5 bilion.

 

 

anwar

 

 

Malah, SPRM sebelum ini pernah menyerbu kediaman dan syarikat ahli perniagaan berusia lingkungan 70-an itu serta merampas dokumen berkaitan kewangan bagi membantu siasatan.

 

 

anwar

 

Susulan itu, SPRM membekukan akaun bank seorang ahli perniagaan bergelar Tan Sri bernilai puluhan juta ringgit. - DagangNews.com