Kontrak perolehanan pesawat FA-50 TUDM dimeterai Selasa ini | DagangNews Skip to main content

Kontrak perolehanan pesawat FA-50 TUDM dimeterai Selasa ini

Kontrak perolehanan pesawat FA-50 TUDM akan dimeterai Selasa ini di Langkawi.
Oleh Zaki Salleh

LANGKAWI 22 Mei - Kontrak perolehan pesawat FA-50 buatan Korea Selatan akan dimeterai Selasa ini pada Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2023.

 

Sebanyak 18 pesawat tempur ringan dwifungsi (LCA/FLIT) ini dibeli bagi meningkatkan keupayaan aset Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

 

Menteri Pertahanan Korea Selatan, Lee Jong-sup akan hadir menyaksikan majlis tersebut bersama rakan sejawatnya dari Malaysia, Datuk Seri Mohamad Hasan.

 

Agensi berita Korea Selatan, Yonhap dalam laporannya memberitahu, Jong-sup akan memulakan lawatan empat hari ke Malaysia bermula esok untuk perbincangan mengenai kerjasama industri pertahanan.

 

Menteri Pertahanan Korea Selatan, Lee Jong-sup
Menteri Pertahanan Korea Selatan, Lee Jong-sup

 

"Pada hari Selasa, Jong-sup akan menghadiri majlis menandatangani kontrak terakhir untuk perjanjian eksport FA-50 dan menyatakan kesediaan Korea Selatan untuk mengukuhkan hubungan industri dua hala dengan Malaysia.

 

"Beliau juga akan mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membincangkan tentang kerjasama pertahanan," ujar laporan tersebut.

 

Pada Februari lalu, Korea Aerospace Industries Ltd. (KAI), pengeluar pesawat tunggal Korea Selatan memenangi perjanjian daripada Malaysia untuk membekalkan 18 pesawat FA-50.

 

Perolehan bernilai RM4 bilion itu merupakan Fasa 1 kepada program FLIT/LCA yang digariskan di bawah pelan strategik CAP 55) TUDM. 

 

Model pesawat FA-50 Block 20 jenis sepertimana yang dibeli TUDM.
Pesawat FA-50 Block 20 jenis sepertimana yang dibeli TUDM.

 

Di bawah pelan tersebut, TUDM menggariskan 36 buah perolehan FLIT/LCA yang dilakukan secara berfasa.

 

Ini merupakan perolehan terbesar dari Korea Selatan selepas pembelian kenderaan perisai MIFV pada tahun 1995 semasa misi tentera pengaman di Bosnia Herzegovina.

 

Sementara itu, LIMA 2023 juga menyaksikan kehadiran pasukan aerobatik Black Eagles Tentera Udara Korea Selatan yang akan membuat pertunjukan udara.

 

Pasukan ini melibatkan sembilan pesawat latihan T-50B dan tiga pesawat pengangkut C-130 serta 110 kru.

 

Turut menyertai LIMA 2023 ialah kapal pendarat Nojeokbong milik tentera laut Korea Selatan. - DagangNews.com