KUALA LUMPUR 4 Sept - Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad (KPF) mengisytiharkan pengagihan dividen 5% bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (FY2023).
KPF dalam satu kenyataan berkata, pengagihan itu melibatkan jumlah keseluruhan RM108.85 juta yang akan memanfaatkan seramai 255,000 ahli.
Pengerusi KPF, Datuk Mohd Banuri Aris berkata, kerjasama erat dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) membolehkan dividen itu diagihkan dengan lancar dan berkesan.
“Kami telah melalui banyak proses dan peringkat bagi memastikan pematuhan prosedur yang ditetapkan oleh SKM.
"Kami berjaya melaksanakan tugas ini dengan lancar dan berkesan di bawah bimbingan dan kerjasama yang diberikan olehnya.
“Pihak pengurusan KPF juga patut dipuji atas dedikasi mereka bagi menyediakan semua dokumentasi yang diperlukan untuk memastikan setiap langkah mematuhi prosedur yang ditetapkan oleh SKM,” ujarnya.
Beliau juga berkata, Felda dan FGV menyokong KPF dalam memastikan kesejahteraan peneroka, rakyat dan kakitangannya terjamin.
“Kami optimis dengan sokongan padu semua pihak, KPF akan terus maju dan berkembang serta memberikan manfaat berpanjangan kepada semua warga Felda.
“Kami berharap semua ahli akan terus menyokong KPF, manakala koperasi akan terus kukuh dan mampu menghadapi sebarang cabaran pada masa hadapan dengan kerjasama dan semangat perpaduan yang berterusan daripada semua pihak,” ulas beliau.- DagangNews.com