Kos bina OPV APMM meningkat RM1 bilion, kerajaan tambah RM200 juta siapkan baki dua kapal | DagangNews Skip to main content

Kos bina OPV APMM meningkat RM1 bilion, kerajaan tambah RM200 juta siapkan baki dua kapal

Kapal OPV KM Tun Fatimah yang telah dioperasikan APMM.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR, 2 April - Kementerian Dalam Negeri (KDN) memerlukan peruntukan tambahan sebanyak RM200 juta bagi menyiapkan dua buah kapal peronda luar pesisir (OPV) yang mengalami kelewatan.

 

Tambahan kos ini bagi memastikan kapal berkenaan disiapkan seterusnya diserahkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

 

Kapal yang masih belum diberikan nama serta dikenali dengan panggilan OPV 2 dan OPV 3 ini dijangka diterima agensi terbabit dalam tempoh dua tahun lagi.

 

Difahamkan ketika ini OPV 2 telah siap sebanyak 75% manakala OPV 3 50% siap.

 

Opv

 

Opv
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

 

Perkara itu dimaklumkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, malah katanya peruntukan itu telah diminta daripada kerajaan.

 

Kos tambahan itu diputuskan setelah KDN menyemak peruntukan asal.

 

Katanya, biarpun kelewatan pembinaan kedua-dua kapal telah melewati tempoh masa tetapi aset itu diperlukan.

 

Kabinet juga bersetuju bahawa KDN boleh menggunakan apa-apa kaedah atau strategi yang diperlukan untuk untuk memperoleh baki OPV.

 

Kelewatan menyiapkan tiga buah OPV APMM yang diberikan kontrak pada tahun 2017 menyebabkan ia mendapat kritikan banyak pihak termasuklah dijadikan modal politik.

 

Opv

 

Opv

 

Kapal pertama, OPV 1 hanya disiap dan diserahkan empat tahun daripada tarikh sebenar itu pun setelah kerajaan menyuntik pinjaman sebanyak RM152.6 juta.

 

Ini menjadikan kos keseluruhan projek OPV APMM kira-kira RM891.5 juta bagi memastikan kapal itu disiapkan pada tahun tersebut.

 

Dengan suntikan lagi RM200 juta, bermakna kos pembinaan terkini projek OPV APMM mencecah RM1.09 bilion.

 

Secara kiraan kasar kos bagi sebuah OPV ini adalah sebanyak RM363.8 juta menyamai harga sebuah OPV kombatan yang dibina untuk tentera laut.

 

OPV
THHE bergelut untuk menyiapkan kapal OPV 1 sebelum menerima suntikan pinjaman kerajaan.

 

Sebaliknya, beza OPV APMM dengan OPV kombatan ialah vesel bagi tugasan penguatkuasaan mempunyai kelengkapan tidak canggih manakala persenjataan pula terhad.

 

Kos tambahan ini juga bermakna kerajaan terpaksa membayar harga berlipat ganda untuk mendapatkan tiga kapal peronda yang gagal disiapkan mengikut jadual kontrak.

 

Pada awal tahun lepas, kerajaan mengambil alih projek OPV 1 daripada bekas anak syarikat Tabung Haji, THHE Destini Sdn Bhd, selepas ia dikesan menghadapi masalah besar.

 

Sepatutnya, selepas kapal OPV 1 (KM Tun Fatimah) diluncurkan ke laut pada Oktober tahun 2022 maka progres seterusnya ialah menyiapkan struktur OPV 2 dan OPV 3 di limbungan.

 

Mengikut perkiraan sebelum ini, OPV 2 akan diserahkan kepada APMM beberapa bulan selepas OPV 1 dan seterusnya adalah kapal OPV 3. Malangnya ia tidak berlaku.

 

Opv
Gambar fail menunjukkan sebahagian daripada bahagian kapal OPV 2 yang belum siap.

 

OPV

 

Kontrak perolehan tiga OPV bernilai RM738.9 juta ini dimeterai TH Heavy Engineering (THHE) pada Januari 2017 untuk disiapkan dalam tempoh 42 bulan dan sepatutnya siap pada Julai 2020. 

 

Ia merupakan penganugerahan kontrak secara rundingan terus untuk keperluan projek di dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11).

 

Projek OPV APMM nampaknya mengalami nasib sama sepertimana projek kapal tempur pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang kerana kelewatan dan lebihan kos.

 

LCS dengan bajet awal RM6 bilion meningkat kepada RM9.18 bilion dan akhirnya mencecah RM11.22 bilion.

 

Jumlah kapal LCS pula terpaksa dikurangkan daripada enam kepada lima buah yang dijangka diserahkan bermula Ogos 2026 hingga April 2029. - DagangNews.com