Kos operasi D&O Green Technologies dijangka terus jejas keuntungan pada FY24-25, kata MIDF Research  | DagangNews Skip to main content

Kos operasi D&O Green Technologies dijangka terus jejas keuntungan pada FY24-25, kata MIDF Research 

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 27 Feb - MIDF Research menjangkakan keuntungan D&O Green Technologies Berhad akan terus terjejas oleh kos operasi meskipun pendapatannya diunjur terus berkembang.

 

Memandangkan prestasi kumpulan lemah pada tahun kewangan 2023 (FY23), firma penyelidikan itu mengurangkan anggaran pendapatan FY24 dan FY25 masing-masing sebanyak 37.3% dan 33.7% kepada RM71.1 juta dan RM90.4 juta berdasarkan struktur kos yang lebih tinggi.

 

Oleh itu, MIDF Research menurunkan taraf saranan pengeluar lampu LED automotif tersebut kepada ‘neutral’ dengan harga sasaran (TP) lebih rendah pada RM3.21 sesaham daripada RM4.03 sebelumnya.

 

Susulan pengumuman laporan kewangan suku keempat tahun kewangan 2023 (4QFY23), firma tersebut menzahirkan kebimbangan terhadap kenaikan kos yang menyebabkan penguncupan margin keuntungan kumpulan.

 

“Kami menjangkakan pemulihan pada margin keuntungan mungkin mengambil sedikit masa yang sebahagian besarnya bergantung pada kadar penggunaan,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Menurut firma itu, pendapatan D&O Green Technologies mencecah rekod tertinggi pada 4QFY23, yang meningkat 41.1% tahun ke tahun (YoY) kepada RM23.4 juta, seiring dengan prestasi hasil yang lebih kukuh 25.4% YoY kepada RM310 juta. 

 

Di samping itu, kadar penggunaan kumpulan berkenaan telah meningkat secara berterusan kepada kira-kira 90% setakat suku tersebut.

 

Bagaimanapun, prestasi tahunan menurun pada FY23 dengan pendapatannya merosot 60.8% YoY kepada RM46 juta walaupun meningkat 3.4% YoY kepada RM1.02 bilion.

 

“Kumpulan itu menanggung kenaikan kos jualan berpunca daripada susut nilai dan pelunasan, elektrik dan kos upah yang lebih tinggi. Di samping itu, kos kewangan juga meningkat sebanyak 181.7%. Ini telah menyebabkan margin keuntungan yang lebih rendah pada 4.5%,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Secara keseluruhannya, MIDF Research berkata prestasi kewangan FY23 kumpulan gagal memenuhi jangkaan firma dengan perbezaan lebih daripada 10% terutamanya disebabkan oleh struktur kos yang tidak menggalakkan.

 

Pada pukul 11:28 pagi ini, saham D&O Green Technologies menokok 5 sen atau 1.4% kepada RM3.54 dengan permodalan pasarannya berjumlah RM4.28 bilion.  - DagangNews.com