Kos operasi tinggi, Maybank IB unjur segmen loji sisa kepada tenaga Cypark hanya pulang modal pada FY25 | DagangNews Skip to main content

Kos operasi tinggi, Maybank IB unjur segmen loji sisa kepada tenaga Cypark hanya pulang modal pada FY25

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Feb - Maybank Investment Bank (Maybank IB) mengunjurkan segmen loji sisa kepada tenaga (WTE) Cypark Resources Bhd hanya mencatatkan pulangan modal pada FY25 kesan daripada kos operasi yang tinggi.

 

Firma penyelidikan itu berkata, segmen sisa dan WTE mencatatkan kerugian kasar sebanyak RM15.3 juta pada 1HFY24 disebabkan gangguan kepada operasi loji.

 

Katanya, kumpulan itu memberi bayangan bahawa akan memperuntukkan sejumlah RM20 juta pada FY25 bagi memastikan loji itu beroperasi pada tahap optimum.

 

"Kami menjangkakan segmen WTE hanya akan pulang modal pada FY25 kerana kos operasi yang tinggi, sekurang-kurangnya sehingga separuh pertama 2025," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Maybank IB berkata, disebabkan banjir di Kelantan dan Terengganu baru-baru ini, Solar Berskala Besar (LSS2) dan LSS3 Cypark hanya dijangka siap dibina pada suku pertama tahun ini berbanding jangkaan awal pada Disember 2023 sebelum ini.

 

Firma penyelidikan itu memahami bahawa potensi ganti rugi pasti (LAD) hanya boleh dipastikan selepas projek itu siap.

 

Terdahulu, pihak pengurusan telah menyediakan peruntukan LAD sebanyak RM90 juta bagi projek LSS3 dalam 6QFP23 (Februari-April 2023).

 

Katanya, memandangkan kumpulan itu memberi fokus kepada penyiapan projek LSS, mereka juga meneroka peluang berkaitan tenaga boleh diperbaharui (RE) iaitu solar dan WTE.

 

Pada Disember tahun lalu, Cypark telah memeterai MoU dengan Abu Dhabi Future Energy Company PJSC (Masdar) untuk bekerjasama dalam projek RE di Malaysia.​

 

Kerjasama itu akan meneroka pelbagai inisiatif, termasuk pembangunan sistem storan tenaga bateri (BESS), dengan matlamat untuk mewujudkan projek 1GW di Malaysia.

 

"Pada masa ini kami mengandaikan penambahan buku pesanan kerja kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) sebanyak RM150 juta pada FY25 dan FY26," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'pegang' pada harga sasaran (TP) 86 sen sesaham. - DagangNews.com