FMM: Kos pemeriksaan kesihatan pekerja asing cecah RM124.2 juta setahun akibat struktur yuran baharu Fomema | DagangNews Skip to main content

FMM: Kos pemeriksaan kesihatan pekerja asing cecah RM124.2 juta setahun akibat struktur yuran baharu Fomema

KUALA LUMPUR 22 Jan - Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) mendakwa para majikan terpaksa menanggung kos sebanyak RM124.2 juta setahun akibat kenaikan yuran dan kekerapan pemeriksaan perubatan untuk pekerja asing oleh Fomema Sdn Bhd.

 

Jumlah tersebut berdasarkan peningkatan yuran sebanyak 14 hingga 15 peratus dengan jumlah pekerja asing di negara ini dianggarkan berjumlah seamai 600,000 orang.

 

FMM dalam pada masa sama turut mempersoalkan tindakan Fomema menambah bilangan pemeriksaan yang menyumbang kepada peningkatan kos dan kekerapan ujian saban tahun dan peranan Fomema dalam sistem pengurusan pekerja asing.

 

Sehubungan itu, FMM menyeru kerajaan melaksanakan sistem dalam talian yang akan menangani kelemahan dalam sistem pengurusan tenaga kerja asing termasuk menghapuskan penyedia khidmat oleh pihak ketika yang tidak diperlukan.

 

"Dengan teknologi dan pendigitalan, klinik yang bertauliah untuk melakukan pemeriksaan perubatan ke aras pekerja asing mengikut spesifikasi yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan boleh terus memasukkan keputusan pemeriksaan perubatan ke dalam sistem untuk kelulusan peringkat seterusnya dalam sistem," kata FMM hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: MEF bantah kenaikan yuran Fomema, pemeriksaan perubatan pekerja asing makin kerap

 

FMM dalam kenyataan itu juga mendakwa Fomema telah gagal berunding dengan pihak berkepentingan sebelum menaikkan kadar dan kekerapan pemeriksaan perubatan untuk pekerja asing pada 16 Disember 2023.

 

"Pelan komunikasi yang betul kepada pihak berkepentingan telah diabaikan kerana pengumuman mengenai perubahan itu hanya dibuat sehari sebelum berkuatkuasanya caj yang lebih tinggi dan kekerapan pemeriksaan perubatan serta hanya diterbitkan di laman web Fomema dan akaun media sosial tanpa perundingan terlebih dahulu dengan pihak berkepentingan.

 

"Ini telah menambahkan lagi kekecewaan para majikan yang tidak menyedari perubahan itu," katanya.

 

Persekutuan itu juga menggesa kerajaan untuk menangguhkan struktur pemeriksaan perubatan baharu di samping menyeru Fomema segera berhubung dengan pihak berkepentingan dan mengkaji semula perkara yang berkaitan dengan penyedia perkhidmatan oleh pihak ketiga.

 

Sebelum ini, pekerja asing hanya perlu menjalani pemeriksaan kesihatan setiap tahun selama tiga tahun, dengan pemeriksaan seterusnya tujuh tahun kemudian. 

 

Namun mulai 16 Disember lalu, pekerja asing perlu menjalani pemeriksaan kesihatan setiap tahun.

 

Sebelum pengumuman kenaikan yuran pemeriksaan perubatan pekerja asing, caj oleh Fomema ialah RM190 bagi lelaki dan RM207 bagi pekerja asing wanita meliputi saringan HIV, Hepatitis B, sifilis dan kehamilan, termasuk penggunaan opiat dan kanabis.

 

Yuran kini dinaikkan kepada RM207 bagi lelaki dan RM217 bagi perempuan dan diperluaskan kepada tiga kategori baharu iaitu filariasis (cacing gelang), Hepatitis C dan methamphetamine.

 

Setiap permintaan bayaran balik akan dikenakan bayaran sebanyak RM27.- DagangNews.com