KPLB kemuka 6 langkah jana pendapatan pekebun kecil selain getah | DagangNews Skip to main content

KPLB kemuka 6 langkah jana pendapatan pekebun kecil selain getah

Getah

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 11 Ogos - Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) mengemukakan enam langkah untuk menggalakkan pekebun kecil menjalankan aktiviti keusahawanan bagi menjana pendapatan selain daripada hasil getah.

Menterinya, Datuk Dr. Abd Latiff Ahmad berkata, antara langkah yang dijalankan kerajaan melalui Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) ialah Program Pembangunan Usahawan yang bertujuan memberi pendedahan kepada pekebun kecil untuk melibatkan diri dalam perniagaan.

"Program ini memberi kursus dan latihan dalam pengurusan perniagaan, kewangan, asas pemasaran, kursus motivasi dan sebagainya. Ia dijalankan secara formal di Institut Kemahiran Pekebun Kecil (IKPK).

"Seterusnya, pekebun kecil yang berpotensi dan berminat boleh memohon beberapa program keusahawanan lain di RISDA melalui Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET) untuk mendapatkan bantuan dalam bentuk peralatan, mesin, bahan mentah dan input pertanian bagi menjalankan atau membesarkan perniagaan dalam bidang makanan, perkhidmatan, pembuatan atau pertanian," jelasnya ketika menjawab soalan lisan daripada Ahmad Tarmizi Sulaiman (PAS-Sik) di Dewan Rakyat hari ini. 

Abd Latiff Ahmad
Abd Latiff Ahmad

 

Jawapan tersebut diberikan selepas Ahmad Tamizi meminta beliau untuk menyatakan langkah-langkah KPLB untuk menggalakkan pekebun kecil menjalankan aktiviti keusahawanan bagi menjana pendapatan selain hasil getah.

Selain itu, Abd Latiff memberitahu, Program Pembangunan Produk juga boleh dimohon bagi usahawan pekebun kecil yang berdaya maju dan memerlukan bantuan untuk meningkatkan lagi kualiti dan imej produk.

"Melalui program ini, mereka akan diberi bantuan khidmat nasihat berkenaan pembungkusan, pelabelan, paten dan sebagainya.

"Untuk tujuan pemasaran produk pula, usahawan pekebun kecil boleh menyertai Program Pemasaran dan Promosi yang dapat membantu mereka meluaskan pemasaran produk melalui penganjuran karnival, ekspo, dan pameran oleh agensi kerajaan atau pihak luar selain promosi dalam talian oleh RISDA," jelasnya.

Ahmad Tamizi Sulaiman
Ahmad Tarmizi Sulaiman

 

Tidak cukup dengan itu, usahawan pekebun kecil juga boleh menyertai Program Premis Perniagaan yang menyediakan bantuan untuk mempromosi dan memasarkan produk usahawan mereka di bawah satu premis strategik seperti RissMart dan RisMobile.

Tambah beliau, langkah yang dijalankan oleh RISDA itu berjaya menggalakkan pekebun kecil menjalankan aktiviti keusahawanan meliputi bidang pertanian, perkhidmatan, makanan dan pembuatan sekali gus menjana pendapatan selain daripada hasil getah.

"Hingga 30 Mei 2020, seramai 7,749 orang pekebun kecil telah menerima manfaat daripada program tersebut," katanya. - DagangNews.com