KPLB lancar Aspirasi Kampung Sejahtera untuk capai matlamat pembangunan mampan 2030 | DagangNews Skip to main content

KPLB lancar Aspirasi Kampung Sejahtera untuk capai matlamat pembangunan mampan 2030

Datuk Seri Mahdzir Khalid (dua dari kanan) ketika merasmikan Aspirasi Kampung Sejahtera KPLB hari ini.

KUALA LUMPUR 26 Julai - Kementerian Pembangunan Luar (KPLB) hari ini melancarkan Aspirasi Kampung Sejahtera sebagai inisiatif komprehensif selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030.

 

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, sembilan kriteria dikenal pasti sejajar dengan Wawasan Kemakmuran Bersama serta 17 Agenda dibawah SDG bagi pelaksanaan Aspirasi Kampung Sejahtera KPLB.

 

"Pelaksanaan Aspirasi Kampung Sejahtera ini melibatkan pembangunan luar bandar yang berdaya tahan, berinisiatif, berdikari, berilmu dan memiliki disiplin kerja yang tinggi dalam kalangan komuniti ke arah kesejahteraan kampung.

 

"Sembilan kriteria itu termasuk Infrastruktur, Ekonomi Berimpak Tinggi, Modal Insan Berdaya Maju, Kesihatan, Kebersihan dan Keceriaan, Keagamaan dan Kerohanian, Keselamatan, Kepimpinan dan Pentadbiran serta Budaya Inovasi," katanya.

 

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Majlis Pelancaran Aspirasi Kampung Sejahtera KPLB, di sini hari ini.

 

Turut hadir, Timbalan Menteri I KPLB, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad; Timbalan Menteri II KPLB, Datuk Hasbi Habibollah dan Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun.

 

Serentak pelancaran itu, Mahdzir berkata, KPLB melaksanakan Pertandingan Aspirasi Kampung Sejahtera (PAKS) untuk mengenal pasti kampung-kampung yang berpotensi diketengahkan dan bersesuaian dengan konteks Aspirasi Kampung Sejahtera.

 

 

mahdzir

 

 

"Pertandingan ini terbuka kepada dua kategori iaitu Kampung Tradisional dan Rumah Panjang di bawah pentadbiran Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) atau Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) dan satu kategori lagi adalah Kampung Orang Asli dibawah Jawatankuasa Pembangunan dan keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA)," katanya.


 
Pertandingan itu tambah Mahdzir, dibuka selama enam bulan bermula April sehingga Oktober 2022.


 
"Proses penilaian akan mula dilaksanakan pada pertengahan bulan Ogos yang mana kampung yang terpilih sebagai pemenang akan diiktiraf sebagai Kampung Sejahtera," ujarnya.


 
Setakat ini katanya, 126 pencalonan kampung telah diterima daripada dua kategori iaitu 112 buah Kampung Tradisional dan Rumah Panjang yang dikemukakan oleh Kerajaan Negeri.

 

 

mahdzir

 

 

Manakala, 14 pencalonan bagi Kampung Orang Asli dikemukakan oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).


 
Lima aspek dinilai iaitu Tadbir Urus Berkesan, Inovasi dan Aspirasi, Ekonomi Berdaya Saing, Modal Insan, Kesihatan dan Persekitaran serta Prasarana dan Kemudahan Masyarakat.

 

“Proses transformasi kepada Kampung Sejahtera ini akan dilaksanakan secara berfasa mengikut kategori dan topografi kampung berkenaan yang melibatkan komitmen, kolaborasi serta koordinasi pelbagai pihak secara berterusan dalam jangka masa panjang.


 
“Ini termasuk kerjasama strategik dengan Kementerian dan agensi Kerajaan berkaitan, Kerajaan Negeri, NGO, syarikat korporat dan pihak berkepentingan yang  lain", kata Mahdzir.



Terdahulu, Mahdzir turut mempengerusikan Mesyuarat  Penyelarasan Antara Menteri Pembangunan Luar Bandar dan EXCO Kerajaan Negeri Pembangunan Luar Bandar (MEXCLUB) kali ke-54.

 

Mesyuarat membincangkan isu berkaitan pelaksanaan projek infrastruktur luar bandar dan program pengukuhan keselamatan makanan negara di bawah KPLB.

 

Susulan mesyuarat itu juga, Mahdzir mengumumkan peruntukan khas RM500,000 bagi setiap Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) bagi pelaksanaan projek pembangunan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing. - DagangNews.com