KPLB peruntukan RM19 juta laksana Projek Bersepadu Pembangunan Ekonomi Kampung 2022 | DagangNews Skip to main content

KPLB peruntukan RM19 juta laksana Projek Bersepadu Pembangunan Ekonomi Kampung 2022

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

PADANG TERAP 14 Julai - Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menyediakan peruntukan RM19 juta bagi melaksanakan Projek Bersepadu Pembangunan Ekonomi Kampung (PROSPEK) tahun ini. 

 

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, PROSPEK yang melibatkan 16 projek itu dilaksana menerusi tiga komponen iaitu ekonomi, prasarana asas dan perumahan.
 

“Buat masa ini, terdapat 13 projek sambungan PROSPEK sedang dibangunkan di kawasan Pedu, Padang Terap ini merupakan antara projek baharu yang dilaksanakan KPLB pada 2022.

 

"Projek di Pedu ini telah bermula dijangka memakan masa lima tahun dengan kos keseluruhan berjumlah RM8 juta," katanya selepas menghadiri Majlis Taklimat Khas PROSPEK Pedu, di Kampung Padang Setol, hari ini.

 

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) KPLB, Mas Rizal Mohd Hilmi; Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), Datuk Kamarudin Abd. Akib dan Pegawai Daerah Padang Terap, Datuk Abdul Ghani @ Zulkifli Zainuddin.

 

Mahdzir berkata, PROSPEK dijangka memberi manfaat kepada lebih 3,000 penduduk di Mukim Pedu dan Padang Terap. 

 

kplb

 

Fasa pembangunannya melibatkan 12 kampung dalam Mukim Pedu yang mempunyai pelbagai aktiviti ekonomi dan berpotensi untuk dibangunkan seperti pertanian, penternakan serta industri kecil dan sederhana (IKS). 

 

Selain itu, sektor pelancongan juga antara aktiviti ekonomi yang akan dilibatkan dalam pembangunan projek itu.

 

"Projek ini akan dilaksanakan oleh Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) selaku agensi pelaksana dan dibantu oleh Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM) selaku agensi pelaksana kajian.

 

kplb

 

"Pengembangan hasil produk khusus berasaskan tanaman durian merupakan salah satu fokus bagi komponen ekonomi untuk dilaksanakan dalam PROSPEK di Pedu ini," katanya.

 

Pelaksanaan PROSPEK telah bermula pada 2018 dengan dua projek rintis iaitu di Kampung Sidam, Kulim, Kedah dan Kampung Pasir Raja, Dungun, Terengganu. 

 

PROSPEK Rintis Kampung Sidam menjalankan aktiviti tanaman jagung dan pemprosesan produk berasaskan jagung manakala Kampung Pasir Raja melaksanakan projek ternakan ikan air tawar. - DagangNews.com