KPM akan keluar jadual peperiksaan SPM 2021 yang baharu | DagangNews Skip to main content

KPM akan keluar jadual peperiksaan SPM 2021 yang baharu

 

NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 22 Nov - Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengeluarkan jadual Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 baharu dalam tempoh terdekat selepas mengambil kira pandangan daripada semua pihak termasuk calon peperiksaan.

 

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin, berkata beliau sudah mengadakan perbincangan dengan Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) serta pengurusan tertinggi KPM berhubung isu jadual peperiksaan SPM.

 

"Kami menerima banyak pandangan daripada ibu bapa dan calon SPM 2021 berkaitan dengan jadual peperiksaan SPM yang dikeluarkan KPM dan mengambil kira semua pandangan yang diberikan.

 

"Insya-Allah kita akan keluarkan satu jadual baharu berkaitan Peperiksaan SPM 2021 dalam masa yang terdekat," katanya menerusi satu video di laman Facebook hari ini.

 

Jadual Peperiksaan SPM tahun ini mengundang kritikan pelbagai pihak berikutan tarikh peperiksaan yang akan bermula pada 3 Mac hingga 20 Mac 2022 itu jatuh pada Jumaat dan Ahad.

 

Selain itu, tarikh jadual peperiksaan itu turut berada pada cuti akhir penggal 3 2021/2022 yang dijadualkan bermula pada 25 Februari hingga 20 Mac 2022.

 

Berdasarkan jadual SPM yang dipaparkan di portal rasmi Lembaga Peperiksaan Malaysia sejak beberapa hari lalu, mata pelajaran yang jatuh pada Ahad, 6 Mac adalah Prinsip Perakaunan Kertas 1, 2 dan 4 serta Al-Adab wa Al-Balaghah.

 

Pada Jumaat, 11 Mac pula mata pelajaran Al-Syariah, Pendidikan Islam, Pendidikan Moral, Pendidikan Syari'ah Islamiyah, Turath Dirasat Islamiah, Maharat Al-Quran, Bahasa Punjabi, Manahij al-Umum Al-Islamiyah dan Pertanian.

 

Pada Ahad, 13 Mac pula, Pendidikan Seni Visual – Ujian Melukis, Pendidikan Muzik dan Reka Cipta manakala pada Jumaat, 18 Mac pula Bahasa Cina, Bahasa Iban, Bahasa Tamil, Bahasa Kadazandusun, Bahasa Semai, Bahasa Arab, Al-Lughah Al-Arabiah Al-Mu'asirah dan Turath Bahasa Arab.-Dagangnews.com