KPPK cadang buka pejabat serantau di Arab Saudi | DagangNews Skip to main content

KPPK cadang buka pejabat serantau di Arab Saudi

 

 

 

KUALA LUMPUR 15 Mac - Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) sedang berusaha untuk membuka Pejabat Serantau Agrikomoditi Malaysia di Jeddah, Arab Saudi. 

 

Pejabat serantau ini merangkumi Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), Majlis Getah Malaysia (MRC) dan Majlis Kayu Kayan Malaysia (MTC).

 

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, ia akan dijadikan Hub Komoditi Malaysia untuk memperluaskan pasaran agrikomoditi negara ke benua Afrika dan Timur Tengah yang masing-masing memiliki populasi penduduk seramai 1.34 bilion orang dan 457 juta orang.

 

Katanya, pembukaan pejabat ini merupakan usaha KPPK dalam merealisasikan hasrat menjadikan produk komoditi Malaysia untuk menguasai pasaran di rantau berkenaan termasuk produk oleokimia dan biobahan api pada masa hadapan.

 

"Hubungan antarabangsa melalui strategi pembukaan pejabat serantau seperti ini adalah penting bagi meningkatkan lagi penerimaan produk sawit Malaysia di pasaran global," katanya dalam kenyataan.

 

Beliau juga menyifatkan pembukaan pusat serantau itu selaras dengan kempen ‘Sawit Anugerah Tuhan’ yang dilancarkan pada 10 Februari lalu. 

 

Kempen itu bertujuan mempromosi kelebihan dan kebaikan minyak sawit Malaysia kepada dunia dengan menggunakan elemen pendidikan dan pada masa sama menangkis kempen anti-minyak sawit. 

 

Mohd. Khairuddin turut melahirkan penghargaan terhadap kejayaan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin susulan rundingan di antara Malaysia dan Arab Saudi dalam pelbagai perkaratermasuk mempromosi industri sawit negara terutama untuk meningkatkan pasaran minyak sawit Malaysia ke negara berkenaan.

 

Pertemuan Perdana Menteri bersama Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed Salman Abdulaziz Al-Saud yang juga Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan negara itu di Istana AlYamamah telah memberi peluang kepada syarikat-syarikat negara ini untuk mengeksport minyak sawit dengan kuantiti yang lebih besar.

 

"Arab Saudi telah menunjukkan komitmen untuk meningkatkan import minyak sawit Malaysia daripada 318,000 tan metrik bernilai RM900 juta pada tahun lalu kepada 500,000 tan metrik bernilai kira-kira RM1.5 bilion bagi 2021," tambahnya. - DagangNews.com