KPPK tingkatkan promosi sisa isirung sawit tangani isu bekalan, harga ayam | DagangNews Skip to main content

KPPK tingkatkan promosi sisa isirung sawit tangani isu bekalan, harga ayam

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

PUTRAJAYA 31 Mei - Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) akan meningkatkan usaha mempromosikan penggunaan sisa isirung sawit sebagai makanan haiwan bagi memastikan Malaysia mempunyai bekalan ayam yang mampan dalam jangka panjang. 

 

Menteri KPPK, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, antara punca kenaikan harga ayam adalah disebabkan harga makanan ayam yang tinggi. 

 

Beliau berkata, dilaporkan bahawa harga makanan ayam telah meningkat daripada RM500 setan kepada RM1,900 setan dalam beberapa kes.

 

"Disebabkan ini, ayam kurang diberi makan, menyebabkan ternakan membesar dengan lebih perlahan daripada biasa dan seterusnya memberi kesan terhadap bekalan ayam. 

 

"Buat masa ini Malaysia mengimport sebahagian besar makanan ayam, dan kebanyakannya diperbuat daripada bijirin seperti jagung dan kacang soya. Sumber ini menghadapi kekurangan di seluruh dunia akibat perang di Ukraine dan keadaan cuaca yang tidak menentu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Menurut Zuraida, ladang kelapa sawit Malaysia menghasilkan bekalan sisa isirung sawit yang banyak.

 

Beliau berkata, kajian menunjukkan bahawa memberi makan kek isirong sawit (PKC) yang ditapai dan lemak pemakanan yang tinggi kepada ayam pedaging, boleh menggantikan makanan import yang digunakan oleh hampir semua ladang ayam komersial hari ini.

 

 

zuraida
Datuk Zuraida Kamaruddin

 

 

"KPPK juga akan mengadakan perbincangan dengan pihak berkepentingan lain untuk mengkaji semula dasar eksport PKC yang akan lebih memihak kepada ayam pedaging tempatan. Pada masa ini, PKC dieksport untuk industri lembu Eropah.

 

"Kementerian juga akan bekerjasama dengan agensi berkaitan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan Kerajaan Negeri untuk melihat dengan segera bagaimana ketersediaan sisa isirong sawit sebagai makanan haiwan untuk industri ayam Malaysia dapat dilakukan dengan segera." katanya.

 

Selain itu katanya, KPPK juga akan bekerjasama rapat dengan institut penyelidikan seperti universiti awam untuk melihat cara meningkatkan kualiti PKC bagi menjadikannya pilihan utama penternak ayam. 

 

"Ini termasuk kajian untuk mengurangkan kandungan serat dalam PKC.

 

"Dengan semangat Keluarga Malaysia, KPPK akan terus komited untuk memainkan peranan dalam membantu mengurangkan pergantungan Malaysia kepada makanan ternakan yang diimport. 

 

"Kementerian akan sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat dan memastikan sektor komoditi terus menyumbang secara konsisten kepada pembangunan ekonomi negara," katanya. - DagangNews.com