KPPK yakin sasaran nilai eksport agrikomoditi RM180 bilion mampu dicapai | DagangNews Skip to main content

KPPK yakin sasaran nilai eksport agrikomoditi RM180 bilion mampu dicapai

 

NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 19 Nov - Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) yakin sasaran nilai eksport produk agrikomoditi sebanyak RM180 bilion mampu dicapai tahun ini. 

 

Keyakinan itu disuarakan selepas perolehan eksport produk agrikomoditi bagi suku ketiga tahun 2021 melonjak sebanyak 49% kepada RM155 bilion berbanding RM104 bilion dalam tempoh yang sama tahun lalu.

 

KPPK dalam satu kenyataan memberitahu, faktor peningkatan itu adalah berikutan kenaikan harga harian minyak sawit mentah ke paras tertinggi dalam sejarah iaitu RM5,404 setiap tan selain pertambahan melebihi 100% dari segi eksport sarung tangan getah.

 

Pandemik COVID-19 terus memberikan kesan kepada pengeluaran serta eksports minyak sawit kepada semua pengeluar minyak sawit dunia tetapi isu berkenaan dijangkan dapat diselesaikan dengan kemasukan 32,000 pekerja asing dalam sektor perladangan, mulai bulan hadapan.

 

"Sehingga September lalu, produk berasakan sawit yang merupakan penyumbang terbesar sebanyak 48% daripada jumlah eksport keseluruhan dan ia mencatatkan peningkatan kepada RM74 bilion berbanding RM52 bilion sebelum ini.

 

"Namun begitu, kuantiti eksport produk berasaskan sawit mencatatkan penurunan sebanyak 6%.

 

"Kementerian juga yakin sasaran nilai eksport sebanyak RM180 bilion tahun ini mampu dicapai," kata kenyataan itu.

 

KPPK berkata, produk getah menjadi penyumbang sebanyak 38% kepada keseluruhan nilai eksport dan ia meningkat kepada 89% kepada RM59 bilion berbanding RM31 bilion bagi tempoh sama tahun lalu.

 

Nilai eksport produk berasaskan lateks seperti sarung tangan getah dan lain-lain terus melonjak sebanyak 111% kepada RM49 bilion berbanding RM23 bilion berbanding sebelum ini dan sarung tangan getah mencatatkan kenaikan sebanyak 118% kepada RM47 bilion berbanding RM22 bilion pada suku ketiga 2020. 

 

Dalam pada itu, produk berasaskan kayu-kayan telah menyumbang sebanyak 10.3% dan nilai eksport sektor ini telah meningkat 1.15% kepada RM16 bilion berbanding RM15.7 bilion tahun lalu.

 

"Eksport produk koko turut mencatatkan kenaikan sebanyak 10% kepada RM5.1 bilion berbanding tahun sebelumnya iaitu RM4.6 bilion. 

 

"Senario itu turut membabitkan produk lada yang meningkat sebanyak 18% kepada RM100 juta berbanding RM85 juta pada tempoh sama pada 2020," katanya.-Dagangnews.com