SHAH ALAM 23 Jan - Kolej Pengajian Seni Kreatif (KPSK) Universiti Teknologi Mara (UiTM) bakal menganjurkan pementasan teater muzikal kanak-kanak pada 28 Januari ini di Dewan Agong Tuanku Canselor (DATC) UiTM Shah Alam.
Pementasan bertajuk 'Ala Lib Ala Lob' itu membabitkan kira-kira 100 orang pelajar daripada pengajian Seni Persembahan dan beberapa buah sekolah.
Pengurus Publisiti Teater, Nik Muhammad Mu’izzuddin Nik Aizan berkata, sebanyak dua sesi pementasan akan dilakukan iaitu pada pukul 3 petang dan 8.30 malam.
“Teater seni muzikal ini akan dilakonkan para pelajar KPSK di bawah arahan bersama Prof. Madya Aminah Rhapor dan Noor Hashimi Hassan.
"Justeru, orang ramai dijemput hadir menyaksikan persembahan ini dan bayaran masuk dikenakan serendah RM5 atas nama sumbangan," katanya kepada Dagang News.
Persembahan teater berdurasi satu jam 20 minit itu mengisahkan berkenaan persengketaan dua kerajaan kelip-kelip.
Skrip pementasan teater pula merupakan karya asal Noor Hashimi Hassan.
Teater muzikal kanak-kanak ini merupakan penilaian akhir bagi penuntut Diploma Teater semester satu dan tiga serta pelajar Ijazah Sarjana Muda Teater Sinografi.
Bagi pertanyaan mengenai tempahan tiket, orang ramai boleh menghubungi talian 017-8826063 (Syarifah) dan 017-5575708 (Aneesa). - DagangNews.com