KTMB tingkatkan kapasiti tempat duduk kereta api ke Dabong | DagangNews Skip to main content

KTMB tingkatkan kapasiti tempat duduk kereta api ke Dabong

Stesen kereta api di Dabong, Kuala Krai di Kelantan. - Gambar Khamaruzaman Man
 

 

 

KUALA LUMPUR 7 Okt – Pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara menyaksikan pertumbuhan rancak beberapa sektor ekonomi negara terutamanya di negeri yang telah beralih fasa. Ini dapat dilihat dengan kelonggaran beberapa aktiviti seperti rentas daerah, pelancongan dalam negeri, makan di luar, sukan dan rekreasi.

 

Bagi sektor pengangkutan awam, ia memberikan petunjuk positif apabila kerajaan mengumumkan perkhidmatan tren dibenarkan beroperasi dengan kapasiti penuh.

 

KTMB melalui statistik penumpang yang diperoleh memperlihatkan kenaikan sebanyak 300% bagi laluan Tumpat–Dabong, dari bulan September hingga Oktober tahun ini.

 

Bagi memenuhi permintaan yang tinggi, KTMB akan menggandakan kapasiti tempat duduk dengan menggunakan set berkembar tren Diesel Multiple Unit (DMU) yang boleh memuatkan seramai 416 penumpang berbanding hanya 208 sahaja sebelum ini.

 

Set khas ini akan digunakan bagi perkhidmatan Shuttle Timuran No.55 dan 56 untuk laluan Tumpat ke Dabong dan sebaliknya pada setiap hujung minggu, iaitu hari Jumaat dan Sabtu serta cuti umum. Tren ini akan mula beroperasi pada 8 dan 9 Oktober ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Rani Hisham Samsudin berkata “penggunaan set berkembar DMU ini adalah bagi menampung permintaan yang tinggi terutamanya pada setiap hujung minggu dan hari kelepasan umum.”

 

Katanya, daerah Dabong yang kini menjadi fenomena membuatkan ramai ingin merasai pengalaman menaiki kereta api yang menawarkan pemandangan yang menarik, keselesaan dan keselamatan selain dari harga tiketnya yang berpatutan.

 

“Kami juga ingin mengingatkan para penumpang untuk duduk di tempat mengikut nombor tempat duduk yang tertera di tiket masing-masing. 

 

''Peringatan ini berikutan rungutan penumpang yang tidak dapat duduk di tempat mereka dan ini telah menimbulkan kesulitan kepada para penumpang yang lain,'' katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Penumpang juga digalakkan untuk membuat pembelian tiket pergi dan balik serta merancang perjalanan lebih awal untuk mengelakkan kehabisan tiket.

 

Mohd Rani berkata, KTMB amat komited dalam memastikan tren-tren melalui proses sanitasi secara berkala bagi memastikan kesejahteraan dan keselamatan penumpang ketika menaiki perkhidmatan itu.

 

Pengguna kereta api dinasihatkan agar patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan selain memastikan telah lengkap dua dos vaksin dan mengemukakan kad/Sijil Digital Vaksinasi COVID-19 serta kad pengenalan sebagai pembuktian.

 

Selain menunjukkan sijil vaksinasi, mereka juga perlu melakukan pemeriksaan suhu badan dan imbas kod MySejahtera. – DagangNews.com