Kuantan Port, Northport dan MRL meterai MoU pastikan jambatan darat ECRL direalisasikan | DagangNews Skip to main content

Kuantan Port, Northport dan MRL meterai MoU pastikan jambatan darat ECRL direalisasikan

Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook (empat dari kiri) menyaksikan majlis menandatangani MoU antara Pengerusi Kuantan Port Consortium, Lee Chun Fai (dua dari kiri), Ketua Pegawai Eksekutif Northport, Datuk Azman Shah Mohd Yusof (tiga dari kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Datuk Sri Darwis Abdul Razak (dua dari kanan) semasa majlis yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sultan Ahmad Shah, Kuantan pada 15 Ogos 2024.
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 16 Ogos - Kuantan Port Consortium Sdn Bhd, Northport (Malaysia) Bhd dan Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk memeterai kerjasama bagi memastikan jambatan darat Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang menghubungkan Pelabuhan Kuantan ke Pelabuhan Klang dapat direalisasikan.

 

MoU tersebut menggariskan kerjasama menyeluruh semua pihak bagi mengukuhkan perkongsian strategik merentasi beberapa bidang utama, termasuk pembangunan pelan strategik ECRL bagi mewujudkan jambatan darat bersepadu menghubungkan rel yang akan memudahkan pergerakan kargo di antara kedua-dua pelabuhan sekaligus mengurangkan masa transit.

 

Menurut kenyataan media bersama, kerjasama itu juga akan memanfaatkan peluang perdagangan inisiatif Belt and Road dan Halal Silk Route bagi memperkukuhkan hubungan perdagangan dan pelaburan di seluruh Asia.

 

Selain itu, kerjasama itu juga memberi tumpuan kepada pembangunan kedua-dua pelabuhan yang menekankan pertukaran kepakaran teknikal bagi menangani cabaran industri dan memajukan keupayaan operasi melalui Northport International Centre of Excellence (NICE) yang diiktiraf oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran dan Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp).

 

MoU itu ditandatangani oleh Pengerusi Kuantan Port dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan & Pengarah Urusan IJM Corporation Berhad, Lee Chun Fai, Ketua Pegawai Eksekutif Northport, Datuk Azman Shah Mohd Yusof dan Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Datuk Seri Darwis Abdul Razak serta disaksikan oleh Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook.

 

Pemeterian MoU itu juga sempena Ulang Tahun ke-50 Kuantan Port yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sultan Ahmad Shah Kuantan, semalam. 

 

Lee menekankan kepentingan kerjasama itu dalam meningkatkan kecekapan pergerakan kargo dan menjadikan Pantai Timur sebagai hab logistik utama logistik dan perdagangan di Malaysia. 

 

"Kerjasama ini menunjukkan komitmen kami untuk memacu pertumbuhana ekonomi di Wilayah Ekonomi Pantai Timur dan menarik lebih banyak pelaburan. Kami akan bekerjasama rapat dengan rakan kongsi untuk merealisasikan potensi penuh kerjasama ini," ujar beliau.

 

Azman Shah berkata, Northport memberi sokongan penuh dalam kerjasama itu yang bakal mengukuhkan peranannya sebagai Hab Pengedaran Serantau dan gerbang utama negara.

 

"Dengan laluan terus ECRL ke Pelabuhan Klang, Northport boleh meningkatkan operasi multimodal dan memanfaatkan pembangunan taman-taman perindustrian baru di sepanjang laluan kargo ECRL," ulas beliau. 

 

Di samping itu, Darwis berkata, MRL bersama Kuantan Port dan Northport akan membangunkan pelan komprehensif yang melibatkan infrastruktur, prosedur operasi, dan garis masa. 

 

"Jambatan darat ECRL akan menyediakan akses lebih mudah kepada aliran perdagangan Timur-Barat dengan kesalinghubungan terus antara Kuantan Port dan Northport. Jambatan ini dijangka memendekkan masa perjalanan kapal kargo sehingga 2.5 hari di sepanjang laluan maritim sibuk," ujarnya. 

 

Sementara itu, ECRL yang menghubungkan Kota Bharu dengan Pelabuhan Klang, meliputi sejauh 665 kilometer itu dijangka siap pada Disember 2027.- DagangNews.com