KUALA LUMPUR 6 Dis - Kuasa membeli yang semakin lemah kesan daripada peningkatan kos sara hidup dan kadar faedah telah menjejaskan permintaan terhadap produk oleokimia dan pembungkusan Mega First Corporation Berhad.
PublicInvest Research berkata, investori semasa kekal tinggi kerana pelanggan merancang untuk mempunyai kitaran inventori yang lebih pendek dari segi membuat pesanan.
Katanya, stok pembungkusan yang berlebihan akan memberi tekanan kepada beberapa produk pembungkusannya dalam jangka pendek berikutan persaingan harga yang lebih sengit.
"Kumpulan itu akan terus berusaha untuk meningkatkan kecekapan pengeluaran, mempelbagai dan mengukuhkan asas pelanggan selain mengutamakan usaha pemarasan bagi mengatasi cabaran berkaitan.
"Berikutan pengembangan kapasiti baru-baru ini, penggunaan Stenta dan Hexchase masing-masing berada pada paras 85% dan 60%.
"Sementara itu, kumpulan itu berhasrat untuk meneruskan pembinaan dua kilang baharu oleh Hexachase (hiliran) dan Stenta (huluan), walaupun anggaran tarikh penyiapan telah ditunda antara 3-6 bulan hingga akhir 2023," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma itu berkata, faktor ketersediaan tenaga (EAF) untuk loji Tenaga Hidro Don Sahong di Laos dijangka kekal sekitar 97%-98% untuk suku akhir, menjadikan purata EAF setahun penuh kepada sekitar 94%-95% (2021: 91%) atau anggaran pengeluaran elektrik sebanyak 2,150 GWH.
Katanya, tarif tenaga mempunyai semakan menaik sebanyak 1% kepada 6.27 sen AS berkuat kuasa 1 Oktober 2022 dan ia disokong oleh EAF yang tinggi, kelemahan ringgit selain semakan menaik untuk tarif tenaga.
Firma itu berkata, sebahagiannya diimbangi oleh perbelanjaan faedah yang lebih tinggi sebanyak AS$600,000 (RM2.7 juta) dan mereka menjangkakan untuk melihat margin tenaga boleh diperbaharui yang lebih baik untuk suku akhir.
"Pada tahun hadapan, setiap turbin akan menjalani penyelenggaraan berjadual selama 10-15 hari.
"Sementara itu, pembinaan turbin 65MW ke-5, yang menelan belanja kira-kira AS$70 juta hingga AS$75 juta berada di landasan yang betul untuk disiapkan menjelang 3QFY24 dengan unjuran EAF pada kira-kira 41%," katanya.
Firma itu mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) RM4.74 sesaham. - DagangNews.com