Kumpulan Kitacon raih kontrak bernilai RM65 juta bagi pembinaan 182 rumah teres dua tingkat di Dengkil | DagangNews Skip to main content

Kumpulan Kitacon raih kontrak bernilai RM65 juta bagi pembinaan 182 rumah teres dua tingkat di Dengkil

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Feb - Kumpulan Kitacon Bhd menerusi anak syarikatnya, Kitacon Sdn Bhd menerima kontrak bernilai RM65.43 juta daripada Worldwide Holdings Bhd bagi kerja-kerja utama pembinaan 182 rumah teres di Selangor Cyber Valley, Bukit Baja di Dengkil.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, kontrak itu memerlukan mereka membina 129 unit rumah teres dua tingkat (20’ X 70’), 16 unit rumah teres dua tingkat (20’ X 85’), 37 unit rumah teres dua tingkat  (20’ X 85’) dan satu unit pencawang Tenaga Nasional Berhad (TNB).

 

"Kontrak itu bermula pada 19 Februari ini dan dijadualkan siap dalam tempoh 18 bulan," katanya.

 

Kumpulan itu berkata, kontrak itu tidak akan mempunyai sebarang kesan ke atas modal saham dan struktur pegangan saham syarikat.

 

Bagaimanapun ia dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih sesaham kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 dan seterusnya sehingga tamat tempoh kontrak

 

Tiada pengarah, pemegang saham utama dan orang yang berkaitan dengan mereka mempunyai sebarang kepentingan langsung atau tidak langsung dalam kontrak itu. - DagangNews.com