Kuota program pemeteran tenaga bersih ditambah 400MW mulai Februari hingga Disember 2024 | DagangNews Skip to main content

Kuota program pemeteran tenaga bersih ditambah 400MW mulai Februari hingga Disember 2024

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 26 Jan - Kuota program pemeteran tenaga bersih (NEM) bagi pengguna domestik, komersial dan industri ditambah sebanyak 400 megawatt (MW) bermula Februari hingga Disember 2024.

 

Sebanyak 100MW kuota tambahan diperuntukkan bagi pengguna domestik di bawah NEM Rakyat dan 300MW untuk komersial dan industri di bawah NEM Nova.

 

Dengan baki kuota NEM sebanyak kira-kira 50MW setakat ini, jumlah kuota yang boleh dipohon adalah 450MW.

 

Menteri Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam, Datuk Seri Fadillah Yusof mengumumkan perkara tersebut dalam satu kenyataan hari ini bersempena Hari Tenaga Bersih Antarabangsa.

 

“Program ini akan membolehkan sekurang-kurangnya 25,000 pengguna elektrik domestik dan 100 pengguna kategori komersil dan industri memanfaatkan ruang bumbung di premis bangunan masing-masing untuk penjanaan bekalan elektrik bagi kegunaan sendiri melalui pemasangan sistem solar fotovoltaik (PV),” katanya dalam kenyataan tersebut.

 

Menurut data Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA), sebanyak 149.9MW daripada 150MW kuota yang disediakan sebelum ini untuk NEM Rakyat telah digunakan.

 

Sementara itu, NEM Gomen yang diperuntukkan bagi bangunan kerajaan mempunyai baki 50MW daripada 100MW.

 

NEM Nova pula telah digunakan 706.3MW daripada 800MW yang disediakan.

 

Skim yang diperkenalkan oleh kerajaan pada November 2016 ini adalah untuk pemasangan solar atas bumbung dan pengguna boleh menjual lebihan elektrik kepada sistem grid pada harga pasaran atau 'System Marginal Price' (SMP) sebagai kredit tenaga dalam bil elektrik bulan berikutnya. - DagangNews.com