Kwantas terima surat cadangan pengurangan modal selektif dengan RM1.65 sesaham | DagangNews Skip to main content

Kwantas terima surat cadangan pengurangan modal selektif dengan RM1.65 sesaham

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 27 Ogos - Firma minyak sawit, Kwantas Corporation Berhad (Kwantas) telah menerima surat daripada pemegang saham terbesarnya, Kwan Ngen Wah yang mencadangkan firma tersebut untuk melaksanakan Pengurangan Modal Selektif (SCR).

Perkara itu dinyatakan menerusi pengumuman syarikat di Bursa Malaysia, semalam, yang turut menyertakan surat oleh Ngen Wah.

Ngen Wah menerusi suratnya menjelaskan, cadangan itu dibuat susulan ketidaktentuan terhadap persekitaran pasaran global dan tempatan dijangka menjejaskan harga minyak sawit mentah dan produk komoditi tersebut yang seterusnya memberi kesan ke atas masa depan syarikat.

“Kwantas mencatatkan kerugian pada tahun kewangan yang berakhir 30 Jun 2018 dan 30 Jun 2019, masing-masing berjumlah RM93.41 juta dan RM99.65 juta.

“Cadangan SCR ini menawarkan peluang baik untuk pemegang saham keluar dan melihat pemegangan saham mereka pada kadar premium berbanding harga saham Kwantas,” jelas surat berkenaan. 

Ngen Wah memegang sebanyak 29.9% saham Kwantas.

Jelasnya, berdasarkan cadagangan SCR, modal saham yang diterbitkan oleh Kwantas akan berkurangan selepas pembatalan saham firma itu yang dimiliki oleh pemegang saham terlibat. 

Oleh itu, modal saham tersebut akan dikurangkan sebanyak RM205,095,000 berdasarkan harga tawaran SCR berkenaan.

Susulan itu, Kwantas akan membuat pengumuman selepas lembaga pengarah telah mencapai kata putus.

“Sekiranya lembaga pengarah bersetuju dengan Cadangan SCR berkenaan, Kwantas akan melaksanakannya dan pembayaran modal secara tunai sebanyak RM1.65 sesaham di Kwantas yang dimiliki oleh pemegang saham yang layak (selain Ngen Wah dan estate Kwan Ngen Chung), di mana nama mereka tertera dalam Rekod Pendeposit Kwantas, pada tarikh yang akan diumumkan oleh lembaga pengarah kelak,” kata Kwantas. - DagangNews.com