Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 21 April - Insiatif Lagenda Privilege Club yang dilancarkan syarikat pemaju kediaman mampu milik, Lagenda Properties menawarkan penjimatan kepada pembeli kediaman daripada golongan berpendapatan rendah (B40).
Pengarah Urusan Lagenda Properties, Datuk Jimmy Doh berkata, pelancaran insiatif khas komuniti itu bertujuan untuk memberi 'sumbangan semula' kepada masyarakat.
Jelasnya, insiatif berkenaan menawarkan pelbagai insentif menarik termasuk rebat sebanyak 3% kepada pembeli rumah dan Program Cari Jiran yang menawarkan wang tunai sebanyak RM1,500.
"Kaedah pencarian jiran ini terbukti dapat menyarankan kawan terdekat dan ahli keluarga untuk bersama-sama mendiami kediaman yang menggalakkan cara hidup sihat. Kehidupan berkomuniti amat bergantung pada ekosistem yang berasaskan kepercayaan di antara satu sama lain.
"Oleh itu, ganjaran Privilege Club adalah salah satu cara yang bermakna untuk Lagenda Properties menghargai pemilik rumah dalam usaha mereka menyarankan kepada kenalan untuk bersama-sama memiliki rumah di bawah Lagenda Properties," katanya dalam satu kenyataan.
Menariknya, Lagenda Properties turut menjalinkan kerjasama dengan dua ahli sukan terkemuka negara iaitu Datuk Misbun Sidek dan Dollah Salleh bagi memacu pembangunan masyarakat komuniti.
Kerjasama tersebut bertujuan untuk memberi peluang dalam bentuk klinik sukan dan pertandingan sukan tempatan bagi mendorong masyarakat ke arah kehidupan yang aktif dan sihat serta mengasah bakat baharu.
Mengulas berkaitan kerjasama berkenaan, Misbun Sidek berkata, Lagenda sentiasa berusaha untuk memberi yang terbaik perkara tersebut amat jarang berlaku bagi segmen kediaman asas dan mampu milik.
"Usaha Lagenda dalam memperjuangkan nasib golongan yang kurang diberi perhatian secara menyeluruh ini amat penting bagi saya," katanya.
Sementara itu, Dollah Salleh berkata, beliau amat berbesar hati dapat menyertai usaha Lagenda dalam usaha menyumbang semula kepada kesejahteraan penduduk.
Jelasnya, inisiatif Privilege Club pula merupakan satu bentuk bonus yang amat dialu-alukan bagi membantu serta mengubah kehidupan golongan B40. - DagangNews.com