Laksana pelan pemulihan status PN17, Serendib Capital muncul penyelamat Sarawak Cable | DagangNews Skip to main content

Laksana pelan pemulihan status PN17, Serendib Capital muncul penyelamat Sarawak Cable

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 12 Dis - Serendib Capital Limited muncul selaku penyelamat Sarawak Cable Berhad selepas syarikat itu mengemukakan minat bagi melaksanakan pelan pemulihan bagi mengeluarkan kumpulan itu daripada status Nota Amalan 17 (PN17) pada 5 Disember 2023.

 

Sarawak Cable dalam satu kenyataan berkata, Serendib Capital merupakan pelabur berpengalaman yang berpangkalan di United Kingdom dengan lebih dua dekad pengalaman dalam khidmat nasihat dan penstrukturan semula aset kewangan di Asia Selatan.

 

Katanya, rekod prestasi Serendib Capital merangkumi beberapa tawaran serantau berprofil tinggi, yang paling ketara ialah penstrukturan semula dan pelan pemulihan Lanka Bangla Finance PLC, memberikan pelabur lebih 50 kali ganda modal yang dilaburkan.

 

"Ini akan menjadi perjanjian penting pertama Serendib Capital di Malaysia dan telah menyediakan modal RM250 juta bagi digunakan untuk menyusun semula dan membayar pemiutang tertunggak, serta untuk suntikan modal ke dalam syarikat bagi memenuhi permintaan pelanggan yang semakin meningkat untuk pembangunan grid infrastruktur dan kabel voltan tinggi," katanya.

 

Serendib Capital melihat penekanan yang semakin meningkat terhadap pembangunan infrastruktur elektrik nasional sebagai cadangan yang menarik untuk Sarawak Cable.

 

sarawak cable
Russell Boyd

 

Peningkatan elektrifikasi pengangkutan, penyambungan grid ASEAN, pertumbuhan pusat data dan peningkatan permintaan terhadap kenderaan elektrik semuanya merupakan pemacu utama kepada pertumbuhan dalam masa terdekat.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Cable, Russell Boyd berkata, pihaknya melihat perkongsian itu sebagai sesuatu yang positif dalam laluan menstruktur semula komitmen kewangan kumpulan.

 

"Kami berharap dapat memanfaatkan kuasa kewangan dan kepakaran pemulihan Serendib Capital supaya kami boleh memberi tumpuan menyempurnakan secara agresif pada buku pesanan bernilai RM900 juta kami," katanya.

 

sarawak cable
Takeo Hirata

 

Sementara itu, penasihat Serendib Capital dan pengarah bukan eksekutif bukan bebas Sarawak Cable, Takeo Hirata berkata, beliau komited untuk bekerjasama dan melabur dengan Sarawak Cable, pengeluar kabel kuasa terbesar di Malaysia dan pengeluar terkemuka di serantau.

 

"Kami tidak sabar-sabar membersihkan apa sahaja isu legasi yang masih kekal dan memulihkan serta mengatasi sebarang masalah di Sarawak Cable sambil membina perniagaan ini menjadi kuasa serantau," katanya. - DagangNews.com