Lalamove sasar terus kembangkan perkhidmatan di Malaysia | DagangNews Skip to main content

Lalamove sasar terus kembangkan perkhidmatan di Malaysia

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 19 Jan – Lalamove menjangkakan pertumbuhan dan perkembangan di negara ini dengan memperluas liputan dan jarak penghantaran serta perkhidmatan yang ditawarkan.

 

Jangkaan ini berdasarkan kepada faktor pertumbuhan hasil syarikat sebanyak dua kali ganda dalam tempoh dua tahun operasi, serta peningkatan bilangan pengguna dan rakan kongsi penghantaran.

 

Ketua Pegawai Operasi Lalamove, Paul Loo berkata, syarikat berada di tahun ke-10 dan mempunyai rancangan untuk mengembangkan jejak pasaran globalnya.

 

“Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan perniagaan dari rumah merupakan kumpulan terbesar dalam pangkalan pelanggan kami."

 

“Kami ingin bekerjasama dengan mereka dengan menyediakan pelbagai perkhidmatan yang diperlukan” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Syarikat ini juga telah meluaskan liputan penghantar melangkaui Lembah Klang sehingga ke Johor, Melaka dan Pulau Pinang untuk memenuhi keperluan PKS untuk penghantaran pantas dan untuk mengembangkan perniagaan.

 

(Dari kiri) Paul Loo dan Jane Teh
(Dari kiri) Paul Loo dan Jane Teh

 

Sementara itu, Pengarah Urusan Lalamove Malaysia, Jane Teh berkata, perkhidmatan yang disediakan untuk PKS memastikan ia relevan dalam mengharungi lanskap digital yang berubah dengan pantas dan tingkah laku pengguna yang dinamik.

 

"Syarikat sentiasa konsisten melatih rakyat Malaysia sebagai rakan kongsi penghantaran yang telah meningkat 24% pada 2022 berbanding 2021 sekali gus mengimbangi bekalan syarikat dan permintaan luar daripada PKS.

 

Lalamove juga berharap dapat menawarkan rakan kongsi penghantarannya dengan peluang pendapatan yang fleksibel agar terus komited untuk meningkatkan pengguna dan rakan kongsi penghantaran. 

 

Ini termasuk program Lalamove Rewards untuk pelanggan perniagaan meningkatkan ekuiti jenama mereka di samping menjana jualan daripada pangkalan pengguna Lalamove. - DagangNews.com