SHAH ALAM 14 Feb - Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein tidak perlu meletak jawatan kerana dikompaun oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selepas melanggar prosedur operasi standard (SOP) berkaitan COVID-19.
Perdana Menteri berkata, melanggar SOP bukan kesalahan jenayah serta tidak ada kena mengena dengan jenayah.
"KKM telah keluarkan kompaun dan kalau sesiapa kena kompaun letak jawatan, saya rasa tiada orang boleh bekerja," kata Perdana Menteri yang tidak menafikan SOP penting untuk dipatuhi.
"Pegawai kerajaan, kakitangan kerajaan ramai sudah kena kompaun jadi semua kena letak jawatan ke? Jadi tak perlu.
"Yang penting tindakan diambil, maknanya kerajaan tidak membeza-bezakan individu yang melakukan kesalahan, mereka terbabit boleh jadi menteri, timbalan menteri, ketua jabatan, boleh jadi sesiapa sahaja," katanya kepada pemberita ketika melancarkan Laporan Penemuan Utama Banci Penduduk dan Perumahan 2020 di Management and Science University (MSU) di sini, hari ini.
Beliau diminta mengulas desakan DAP supaya Hishammuddin meletak jawatan selepas dikenakan kompaun oleh KKM kerana melanggar SOP COVID-19 dalam satu majlis politik sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Perdana Menteri juga berkata, tindakan kompaun ke atas tiga pemimpin Barisan Nasional (BN) kerana melanggar SOP COVID-19 semalam membuktikan kerajaan tidak pilih kasih dalam melaksanakan undang-undang.
Katanya, sesiapa saja yang melakukan kesalahan akan dikenakan tindakan, termasuk menteri atau pun pegawai tinggi kerajaan.
"Apa yang penting, tindakan diambil maknanya kerajaan tidak membezakan individu yang melakukan kesalahan.
"Dia boleh menjadi menteri, timbalan menteri, ketua jabatan dan sesiapa saja (lakukan kesalahan SOP). Tidak ada konsep orang atas kayangan tidak kena kompaun, orang bawah yang kena kompaun.
"Siapa saja yang lakukan kesalahan melanggar SOP akan dikenakan kompaun, termasuk Menteri Pertahanan (Datuk Seri Hishammuddin Hussein) dan lain-lain, tidak kira siapa," katanya.
Semalam, Kementerian Kesihatan (KKM) mengarahkan tiga pemimpin BN yang hadir ke pelancaran Briged MIC di Johor Bahru, dikompaun kerana melanggar SOP.
Menterinya, Khairy Jamaluddin, melalui Twitternya memaklumkan, beliau mengarahkan pegawai KKM Putrajaya mengeluarkan kompaun itu terhadap Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran; Hishammuddin yang juga Bendahari Agung BN dan Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad.
Mengenai SOP PRN Johor, Ismail Sabri berkata, perkara itu akan diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sebagai sebuah badan bebas yang mengendalikan pilihan raya, lapor Berita Harian.
"Kita tidak terbabit dalam penyediaan SOP itu. Bagaimanapun, saya percaya SPR akan mendapatkan pandangan daripada KKM dan mereka akan umumkan SOP," katanya. - DagangNews.com