Langkah Axiata Group keluar dari Myanmar dijangka tingkatkan daya tarikan kepada pemegang saham baharu, kata Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Langkah Axiata Group keluar dari Myanmar dijangka tingkatkan daya tarikan kepada pemegang saham baharu, kata Kenanga Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 16 Feb - Axiata Group Bhd menerusi edotco Group Sdn Bhd dijangka menarik minat pemegang saham baharu dengan meninggalkan operasi mereka di Myanmar yang boleh dipercepatkan menerusi pelupusan aset menara telekomunikasi kumpulan kepada pembeli tempatan.

 

Kenanga Research berkata, berikutan rampasan kuasa pada 2021, negara itu kini berada di bawah pemerintahan tentera. 

 

"Langkah yang lebih cekap untuk mengeluarkan edotco ialah pelupusan menaranya di Myanmar kepada pembeli tempatan. Oleh itu, ini akan mempercepatkan proses mendapatkan kelulusan kawal selia dan mempercepatkan urusan kumpulan itu," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, walaupun keuntungan operasinya di Myanmar tinggi dengan margin pendapatan sebelum cukai, faedah dan susut nilai dan pelunasan (EBITDA) sebanyak 85% tetapi keputusan untuk keluar itu adalah disebabkan kebimbangan terhadap amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

 

Pada 2022, edotco berkata, mereka sudah menghentikan pelaburan yang lebih banyak kepada Myanmar kerana berdepan cabaran untuk membawa balik dana.

 

Bagaimanapun, mereka yakin bahawa sebahagian besar operasinya tidak terjejas akibat pergolakan politik di negara itu.

 

Edotco dilaporkan memiliki kira-kira 2,000 menara telekomunikasi dan menguruskan 1,000 tapak di Myanmar, yang diterjemahkan antara 3% hingga 4% daripada aset Axiata Group.

 

Di luar Myanmar, Kenanga Research berpendapat bahawa edotco kekal fokus pada pengembangan di Malaysia, Filipina dan Bangladesh.

 

“edotco mungkin berpotensi untuk membiayai pengembangannya di Filipina. Kumpulan itu baru-baru ini menerokai Filipina pada September 2023 melalui pemerolehan 2,710 tapak menara,” katanya.

 

Kenanga Research menyatakan bahawa Axiata Group tidak mempunyai rancangan segera untuk menerokai pasaran baharu bagi mengembangkan jejak telekomunikasinya.

 

Sebaliknya, kumpulan itu itu akan memberi tumpuan kepada pembaikan pasaran, penyampaian sinergi penggabungan di CelcomDigi, serta transformasi struktur XL Axiata dan Link Net.

 

Firma penyelidikan itu berkata, Link Net memerlukan pembiayaan puncak sebanyak AS$500 juta hingga AS$600 juta untuk menggunakan empat juta pas rumah sebagai sebahagian daripada rancangan pengembangannya di Indonesia.

 

“Dalam apa jua keadaan, Axiata menekankan bahawa perbelanjaan modal (capex) untuk pelancaran gentian Link Net tidak akan dibiayai oleh HoldCo [syarikat induk]. 

 

"Link Net akan membiayai rancangan pengembangannya melalui aliran tunai dalaman atau pinjaman bank," katanya.

 

Katanya, Link Net dijangka tidak akan pulih dalam tempoh terdekat kerana ia masih dalam peringkat tempoh tunggu hasil. Sementara itu, pendapatan XL Axiata dijangka menerima rangsangan selepas selesainya transformasi Link Net.

 

Firma penyelidikan itu telah mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) RM3.10 sesaham. - DagangNews.com