Langkah drastik India naikkan cukai import sehingga 32% pasti jejaskan harga minyak sawit, permintaan - Maybank IB | DagangNews Skip to main content

Langkah drastik India naikkan cukai import sehingga 32% pasti jejaskan harga minyak sawit, permintaan - Maybank IB

India adalah pembeli terbesar produk kelapa sawit Malaysia pada 2023. -Gambar hiasan Ashwini Chaudhary
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 18 Sept - Selain memberi kesan negatif kepada permintaan, langkah India menaikkan secara drastik cukai import minyak masak juga bakal menekan harga niaga hadapan minyak sawit mentah (FCPO) dalam tempoh terdekat, kata Maybank Investment Bank, (Maybank IB).

 

FCPO merupakan penanda aras harga global bagi pasaran minyak sawit mentah (MSM).

 

Kata firma penyelidikan itu, tanpa India menaikkan cukai import sebanyak 20 mata peratus sekali pun, pembetulan harga MSM dijangka berlaku tidak lama lagi berikutan musim kemuncak pengeluaran sawit yang akan datang pada suku keempat 2024 terutama di Indonesia.

 

 

"Kami kekalkan saranan 'Neutral' bagi sektor perladangan. Belian kami adalah SD uthrie, Sarawak Oil Pam, Ta Ann Holdings dan Bumitama Agri (Singapura)," katanya dalam nota penyelidikan.

 

Media pada 14 September lalu melaporkan kerajaan India telah menaikkan cukai import asas ke atas minyak masak mentah dan bertapis sebanyak 20 mata peratus.

 

Pengimport minyak masak terbesar di dunia ini sedang berusaha untuk melindungi petani yang terjejas akibat penurunan harga minyak bijian.

 

ind
Cukai import minyak masak dinaikkan bagi melindungi petani tempatan. -Gambar hiasan ABC Machinery

 

Ini menjadikan cukai import ke atas minyak kelapa sawit, soya dan bunga matahari mentah kini mencecah 27.5% berbanding 5.5% sebelum ini manakala bertapis daripada 12.5% kepada 32.5%.

 

India adalah pembeli terbesar produk kelapa sawit Malaysia, menyumbang 23% daripada eksport negara pada tahun 2023.

 

Menurut Maybank IB, secara teori, kenaikan drastik dalam cukai import sepatutnya mengurangkan import minyak makan. 

 

"Menjelang kenaikan cukai import ini, import minyak sayuran India telah pun jatuh kepada 1.56 juta tan (-16.5% MoM) pada bulan Ogos.

 

"Mungkin peniaga/pembeli telah pun menjangkakan kenaikan cukai import ini sejak beberapa waktu yang lalu, seperti yang dibuktikan oleh angka import India yang tinggi untuk bulan Julai," jelasnya.

 

Kata firma penyelidikan itu, permintaan keseluruhan untuk import minyak sayuran termasuk minyak sawit dari India mungkin akan kekal lembap dalam tempoh terdekat. 

 

Selain itu, kata Maybank IB, kekuatan harga MSM baru-baru ini akibat bekalan terhad di Indonesia bermakna harga MSM telah diperdagangkan dengan diskaun yang lebih kecil berbanding minyak sayuran Eropah.

 

"Minyak sawit tidak lagi bersaing dari segi harga berbanding minyak utama yang lain. Kami kekal dengan pandangan bahawa harga MSM yang tinggi kini tidak mampan kerana diskaun yang lebih luas diperlukan untuk menyokong permintaan, terutamanya jika pengeluaran puncak industri benar-benar telah tertangguh ke suku keempat 2024 terutama di Indonesia," ujarnya.- DagangNews.com