Langkah SKMM dinilai positif, CGS-CIMB kekal pandangan 'neutral' bagi sektor telekomunikasi | DagangNews Skip to main content

Langkah SKMM dinilai positif, CGS-CIMB kekal pandangan 'neutral' bagi sektor telekomunikasi

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 14 Dis - CGS-CIMB Research mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap sektor telekomunikasi negara selepas Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) membenarkan pengendali rangkaian mudah alih menggunakan rangkaian utama 5G (5GC) sendiri dalam penentuan akhir Senarai Akses.

 

Firma itu menilai langkah tersebut sebagai positif kepada pengendali rangkaian mudah alih kerana membolehkan mereka membezakan produk dan perkhidmatan serta mengelakkan kitaran masa yang lebih panjang untuk pembangunan produk baharu (jika semua pembangunan atau ujian, konfigurasi dan perubahan permintaan semula pengendali mudah alih perlu lalui Digital Nasional Bhd. - DNB). 

 

"Selain itu, ia juga membolehkan integrasi yang lancar antara 5G DNB dan rangkaian 2G/4G sedia ada mereka untuk mengawal pengalaman perkhidmatan apabila pengguna berubah ke kawasan bukan liputan 5G," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Susulan kertas pertanyaan awam (PI) mengenai semakan Senarai Akses pada 20 Ogos lalu, SKMM MCMC kemudiannya menerbitkan laporan PI, dengan Penentuan Suruhanjaya mengenai Senarai Akses akan berkuat kuasa pada 15 Disember 2021.

 

Dalam penentuan akhir itu, SKMM telah membuat satu semakan penting, yang mana bagi perkhidmatan akses 5G sendiri, pengendali rangkaian mudah alih dibenarkan untuk menyepadukan rangkaian 5GC mereka dengan rangkaian akses radio 5G yang dikendalikan DNB. 

 

Menurut CGS-CIMB, di sebalik gesaan beberapa pihak supaya mengehadkan akses borong 5G kepada pengendali rangkaian mudah alih, SKMM menegaskan ia tidak akan berbuat demikian kerana tidak mempunyai kuasa di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia.

 

"Bagaimanapun, kami tidak melihat penyertaan baharu atau syarikat telekomunikasi yang lebih kecil menggunaan rangkaian 5G DNB sebagai risiko jangka pendek atau sederhana kepada pengendali rangkaian mudah alih sedia ada. 

 

"Ini memandangkan liputan 5G hanya akan mencapai 90% menjelang 2027. Sebelum itu, rangkaian 4G akan kekal sebagai faktor pembezaan yang utama," jelasnya. 

 

Firma itu berkata, semakan semula harga akses standard mandatori (MSAP) merupakan perkembangan seterusnya yang wajar diberi tumpuan. 

 

Jelasnya, dengan memasukkan perkhidmatan dalam Senarai Akses tidak bermakna harganya akan atau tidak dikawal selia, tertakluk di bawah MSAP yang kemungkinan dimuktamadkan akhir 2022.

 

"Walaupun SKMM telah menetapkan parameter teknikal bagi perkhidmatan kawal selia (contohnya, penghantaran hujung ke hujung) untuk menggambarkan dengan lebih dekat yang tersedia secara komersial (bukan sekadar perkhidmatan berkualiti/laju), tetapi ini mungkin memberi implikasi kos untuk penyedia akses dan kesan terhadap harga," katanya. - DagangNews.com