Laporan kewangan 4QFY23 tertangguh, Country Heights perlu masa tangani kekeliruan perakaunan | DagangNews Skip to main content

Laporan kewangan 4QFY23 tertangguh, Country Heights perlu masa tangani kekeliruan perakaunan

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 1 Mac - Country Heights Holdings Berhad (CHHB) menangguh laporan kewangannya bagi suku keempat tahun kewangan 2023 (4QFY23) memandangkan ia memerlukan masa untuk mengatasi kekeliruan perakaunan yang melibatkan anak syarikatnya, Mines Waterfront Business Park (MWBP).

 

Mengambil maklum kebimbangan terhadap perkembangan terkini laporan kewangan kumpulan, syarikat pemaju hartanah itu berkata ia telah terlepas tarikh akhir pengumuman seperti yang dikehendaki oleh Bursa Malaysia buat pertama kali dalam tempoh 40 tahun.

 

Syarikat tersenarai di Pasaran Utama Bursa Malaysia itu menjelaskan bahawa kemas kini kewangan dan pengesahan angka tertangguh akibat isu yang timbul daripada urusan dengan bank MBSB, Jabatan Insolvensi Malaysia (MDI) dan 23 Century International Life Science Centre (23 Century).

 

Amy Siew, salah seorang pembeli MWBP berjaya dalam saman sivil terhadap syarikat itu untuk membatalkan perjanjian jual beli semasa penyerahan harta itu, namun dia menyerahkan tuntutan untuk ganti rugi pasti (LAD).

 

“Susulan keputusan mahkamah, untuk hartanah bernilai RM600,000 tersebut, tuntutan berkenaan berjumlah RM1.1 juta. Ketika rundingan, jumlah yang dikurangkan telah dipersetujui dan RM75,000 telah dibayar kepada peguamnya. 

 

“Bagaimanapun, petisyen penggulungan Amy Siew masih dikuatkuasakan terhadap anak syarikat MWBP, yang menyebabkan pemiutang lain turut memfailkan bukti hutang mereka, yang kini berjumlah RM 3.8 juta, dengan pengakuan hutang masih menunggu keputusan MDI,” kata Country Heights.

 

Syarikat itu melalui peguamnya telah komited untuk menyelesaikan perkara itu dengan segera dan telah mendepositkan RM390,000 untuk dibayar kepada MDI, bersamaan 10% daripada jumlah tersebut, walaupun tuntutan RM3.8 juta masih belum tepat dan disahkan. 

 

Oleh itu, Lembaga Pengarah syarikat itu telah memutuskan untuk menerima pakai angka RM3 juta untuk buku dan laporan kewangan yang akan diumumkan.

 

Bagi isu kedua melibatkan hutang Country Heights dengan MBSB yang dianggarkan antara RM72 juta hingga RM79 juta, kumpulan itu berkata MWBP telah menerima cadangan penyelesaian daripada MBSB bertarikh 17 November 2023, yang mana ia perlu membayar bayaran pendahuluan sebanyak RM1 juta dan baki RM500,000 setiap bulan, yang akan dibayar dalam tempoh 24 bulan dan ini tertakluk kepada tawaran oleh MDI untuk kes digugurkan.

 

Di samping itu, kumpulan itu berkata, MWBP berdepan masalah penghutang, di mana 23 Century, yang tidak membayar sewa sehingga RM3.8 juta, kini di bawah status penggulunga. Akaun dan audit telah mengambil pendekatan yang sangat berhati-hati untuk menangani situasi tersebut.

 

“Untuk makluman umum, MWBP dan MIECC bernilai RM550 juta mengikut nilai pasaran semasa. Untuk pertanyaan mengenai penjualan dan pemerolehan aset, pihak berkepentingan berpotensi boleh menghubungi syarikat secara langsung dan bukannya berurusan dengan pihak lain.

 

“Kumpulan terus komited untuk menangani cabaran ini secara telus dan bertanggungjawab, dan menghargai sokongan berterusan pihak berkepentingan pada masa ini,” katanya. - DagangNews.com