KUALA LUMPUR 9 Okt - Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung kemajuan projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mendedahkan lima kapal itu dijangka siap pada 2029.
Naib Pengerusi PAC, Wong Shu Qi berkata, tempoh masa pembinaan LCS dilanjutkan lagi kepada 83 bulan.
Beliau berkata, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dijangka hanya dapat memperoleh kelima-lima LCS pada 2029 berbanding kontrak asal di mana lima kapal LCS itu sepatutnya diserahkan pada 2022.
Beliau berkata, PAC juga mendapati tiada kemajuan bagi pembinaan LCS sejak daripada lawatan PAC pada 11 Disember 2021 hingga lawatan PAC pada 10 Jun 2023.
"Melalui pelan mobilisasi yang terkandung dalam Kontrak Tambahan Kelima (SA5) yang ditandatangani pada 31 Mei 2022, MINDEF merancang dengan lebih teliti selepas kegagalan menepati jadual asal pembinaan LCS di mana kapal berkenaan sepatutnya siap pada 2023," katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.
Beliau berkata, isu utama 'detailed design' LCS juga masih belum diselesai, yang mana ketika ini berada pada kadar 96% kesiapan di peringkat kontraktor pembinaan dengan hanya 84% sahaja sudah melalui peringkat pengesahan, verifikasi dan kelulusan oleh pihak Naval Group daripada Perancis sebagai penguasa reka bentuk LCS.
"Bagaimanapun kontraktor pembinaan memberi jaminan bahawa 'detailed design' perlu disiapkan sebelum Ogos 2024 seperti yang terkandung dalam SA6," katanya turut menjelaskan keputusan kerajaan mengambil alih Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) melalui penubuhan Ocean Sunshine Bhd (SPV) dapat membantu mengembalikan kepercayaan pemegang saham, pihak bank dan pihak pembekal dalam pelaksanaan projek pembinaan LCS.
Justeru katanya, PAC mengesyorkan supaya Kementerian Pertahanan memastikan pelaksanaan pelan mobilisasi mengikut syarat yang sudah ditetapkan dengan kapal pertama LCS disiapkan pada Mei 2024 dan diserahkan kepada TLDM pada Ogos 2026.
Katanya, MINDEF perlu memastikan kontraktor pembinaan menyiapkan 'detailed design' sepenuhnya termasuk mendapat kelulusan daripada Naval Group (NG) sebelum Ogos 2024 seperti yang terkandung dalam SA6, disamping kerajaan juga perlu memastikan pengambilalihan BNS oleh Ocean Sunshine Bhd mencapai matlamat asal pelaksanaannya.
"MINDEF dan TLDM bertanggungjawab dalam memastikan keseluruhan projek pembinaan lima LCS bernilai RM11.22 bilion disiapkan serta diserahkan kepada TLDM mengikut tempoh dan kos yang sudah dipersetujui dalam SA6.
Sementara itu, PAC mengecam tindakan Kementerian Pertahanan memeterai perjanjian tanpa persetujuan daripada Jabatan Peguam Negara (AGC).
Ia berhubung perjanjian tambahan keenam (SA6) yang dimeterai pada Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2023 (Lima 2023) pada Mei lalu.
Shu Qi berkata, perjanjian SA6 yang ditandatangani pada 26 Mei lalu, tidak mendapat persetujuan AGC memandangkan jabatan berkenaan menjelaskan bahawa pihaknya sudah memaklumkan kepada Kementerian Pertahanan bahawa perlu ada tindakan lanjut bagi SA6 dan dikemukakan kembali kepada AGC sebelum ia ditandatangani.
"Keputusan MINDEF membelakangkan AGC dalam menandatangani SA6 ialah satu tindakan yang tidak wajar dilakukan kerana ia boleh memberikan implikasi perundangan kepada kerajaan dan ia tidak boleh berulang," katanya.
Beliau berkata, kerajaan turut memutuskan untuk mengurangkan bilangan LCS daripada enam ke lima berikutan pembinaan blok LCS 6 masih belum dimulakan dan peralatan yang sudah dibeli boleh digunakan pada LCS yang lain.
"Walaupun bilangan LCS dikurangkan kepada lima, kos pembinaan LCS meningkat daripada RM9.128 bilion kepada RM11.22 bilion dengan pertambahan sebanyak RM2.098 bilion berpunca daripada kos bagi reka bentuk (RM0.211 bilion), harga peralatan (RM1.214 bilion), insurans dan risiko (RM0.466 bilion), kos kewangan (RM0.143 bilion), kos pengurusan projek (RM0.066 bilion).
"Kelewatan dan pertambahan masa juga adalah faktor utama peningkatan ini berlaku.
"Kementerian dan agensi kerajaan hendaklah memastikan supaya deraf kontrak yang dirunding dengan syarikat telah dirujuk dan disemak sebagai teratur serta dipersetujui oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) terlebih dahulu sebelum ditandatangani," katanya.
Beliau berkata, Jabatan Audit Negara (JAN) juga perlu menjalankan pengauditan sebelum LCS satu diserahkan kepada TLDM dan membentangkannya di Parlimen.
Menyentuh perbahasan LCS di Dewan Rakyat, Shu Qi berkata, mekanisme pembentangan dan perbahasan laporan PAC perlu diteliti dan dibincangkan lebih mendalam terutamanya sama ada menteri yang akan menjawab semua soalan-soalan daripada Ahli Parlimen atau oleh pengerusi dan ahli PAC, lapor Berita Harian.
"PAC berpendapat adalah lebih baik Pengerusi dan ahli PAC menjawab soalan-soalan daripada Ahli Dewan Rakyat. Bagaimanapun, sudah pasti ada kekangan daripada pihak PAC untuk memberikan jawapan yang terkini kerana maklumat-maklumat berkenaan hanya diketahui oleh kementerian," katanya. - DagangNews.com








