HANOI 21 Mac - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membuat kunjungan hormat ke atas Presiden Vietnam, Nguyen Xuan Phuc di Istana Presiden, di sini, hari ini.
Pada pertemuan lebih 40 minit itu, kedua-dua pihak masing-masing menzahirkan penghargaan atas hubungan baik yang terjalin selama ini.
Ismail Sabri turut mengundang Presiden Vietnam itu berkunjung ke Malaysia dalam usaha mengeratkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara dan beliau turut memuji layanan baik diberikan pihak tuan rumah kepadanya dan seluruh delegasi Malaysia.
Senada dengan Ismail Sabri, Xuan Phuc juga berharap hubungan Kuala Lumpur-Hanoi bertambah erat selaras dengan sambutan Ulang Tahun Ke-50 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara pada tahun depan.
Selepas bertemu Xuan Phuc, Perdana Menteri bersama delegasi membuat kunjungan hormat ke atas Setiausaha Agung Parti Komunis Vietnam (CPV), Nguyen Phu Trong, di Ibu pejabat CPV.
Pada pertemuan itu, Ismail Sabri berkata, beliau yakin lawatan sulungnya ke negara itu juga akan meningkatkan lagi hubungan kedua-dua negara.
Mengakhiri lawatan rasmi dua harinya ke Vietnam, Perdana Menteri membuat kunjungan hormat ke atas Pengerusi Dewan Rakyat, Vuong Dinh Hue, di Bangunan Dewan Rakyat di sini.
"Sepanjang berada di Vietnam pihak kami mendapat layanan sangat baik dan mesra daripada Kerajaan Vietnam," katanya, lapor Bernama.
Dinh Hue pula berkata, Kerajaan Vietnam yakin lawatan Perdana Menteri akan terus mengeratkan hubungan kedua-dua negara.
Ketika ketiga-tiga pertemuan itu, Ismail Sabri menggunakan sepenuhnya bahasa kebangsaan yang kemudiannya diterjemah ke dalam bahasa Inggeris.
Turut hadir pada majlis itu, Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun dan pegawai kanan.
Pagi tadi, Perdana Menteri yang dalam rangka lawatan rasmi dua hari ke Vietnam, disambut dengan hamparan permaidani merah dan diberikan sambutan rasmi sebaik tiba di perkarangan Istana Presiden dan ketibaan beliau disambut rakan sejawatnya dari Vietnam, Pham Minh Chinh.
Kunjungan sulung Perdana Menteri ke Vietnam ini adalah atas undangan Minh Chinh.
Ismail Sabri yang tiba semalam dijadualkan berlepas pulang ke Kuala Lumpur pagi esok selepas mengadakan sidang akhbar dengan media Malaysia. - DagangNews.com