KUALA LUMPUR 13 Feb - Dalam usaha untuk memperkasakan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan, usahawan muda, serta golongan ibu berniaga dari rumah dan juga para pelajar yang berminat untuk berniaga dalam talian, Lazada menggalakkan mereka untuk menyertai Pakej Penjual Baharu Lazada Malaysia 2023.
Ketua Pegawai Operasi Lazada Malaysia, Darren Rajaratnam berkata, e-dagang kini semakin berkembang menjadi talian pilihan utama dalam kalangan para pelanggan apabila mereka menerokai dan mencari produk yang diinginkan, sepertimana yang dikenalpasti menerusi laporan Lazada Sponsored Solutions Report 2022 - Transforming Southeast Asia from Discovery to Delivery.
Katanya, berdasarkan perkembangan dan kecenderungan tersebut, ia menunjukkan betapa pentingnya untuk mewujudkan keterlihatan digital bagi jenama atau perniagaan usahawan tempatan.
"Pakej Penjual Baharu Lazada Malaysia 2023 merupakan komitmen jangka panjang Lazada sebagai rakan e-dagang pilihan dalam kalangan para peniaga, khususnya bagi kategori yang pantas membangun seperti fesyen, kecantikan, kesihatan, barangan runcit, elektrik dan elektronik, keperluan rumah dan banyak lagi.
"Pakej ini ditawarkan untuk warga Malaysia, sama ada usahawan baharu, mahupun pemilik kedai yang telah lama berniaga, lantas membolehkan mereka memperkembangkan perniagaan dalam talian dengan lebih strategik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Peniaga baharu yang menyertai Lazada Marketplace mulai sekarang sehingga 31 Disember 2023 menerusi Pakej Penjual Baharu Lazada Malaysia 2023 akan menerima akses penuh untuk menggunakan perkakasan digital dan teknologi inovatif Lazada.
Mereka juga dapat menikmati pelbagai faedah dan sokongan bagi membantu merangsang jualan kedai dalam talian mereka, terutamanya dalam tempoh kritikal 3 bulan pertama.
Tahun lepas, ribuan peniaga baharu tempatan telah menyertai platform Lazada menerusi ’Hari-Harimau New Seller Kickstarter Package 2022’ dan kini bisnes dalam talian mereka semakin berkembang maju.
Manakala pada tahun 2020 dan 2021, Lazada Malaysia telah memperkenalkan ’Pakej Kedai Pintar Niaga’ demi membantu PMKS yang berikhtiar meneruskan perniagaan semasa dicabar kekangan pandemik.
Untuk maklumat lanjut mengenai ‘Pakej Penjual Baharu Lazada Malaysia 2023’, layari https://education.lazada.com.my/cms/NSP dan FAQ https://sellercenter.lazada.com.my/seller/helpcenter/2023-lazada-new-seller-package-13970.html. - DagangNews.com