LBS Bina lepasi sasaran jualan RM1.2 bilion, sasar RM1.6 bilion tahun ini | DagangNews Skip to main content

LBS Bina lepasi sasaran jualan RM1.2 bilion, sasar RM1.6 bilion tahun ini

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 5 Jan - LBS Bina Group Bhd berjaya merekodkan RM1.575 bilion dalam jualan hartanah pada 2021, melepasi sasaran RM1.2 bilion yang ditetapkan untuk tahun lalu. 

 

LBS berkata, sasaran jualan hartanahnya untuk 2022 ialah RM1.6 bilion, yang akan dicapai menerusi 14 pelancaran yang dirancang meliputi Lembah Klang, Johor, Pahang dan Perak. 

 

Ia merangkumi 3,733 unit kediaman dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM1.77 bilion. 

 

Pengerusi Eksekutif LBS Bina Tan Sri Lim Hock San berkata, walaupun dengan tahun 2021 yang sukar, kumpulan itu masih berjaya melepasi sasaran jualannya sebanyak 31%.

 

"Kami optimistik pasaran hartanah akan pulih semula tahun ini, kami juga berjaya menyerahkan pemilikan kosong sebanyak 2,570 unit bernilai RM1.3 bilion,” katanya di sini hari ini.

 

Beliau turut mengumumkan Lembah Klang memberikan sumbangan jualan tertinggi pada 2021 dan syarikat itu berhasrat melancarkan 2,604 unit dengan jumlah GDV RM1.11 bilion tahun ini. 

 

"Khusus untuk perbandaran KITA @ Cybersouth, LBS akan melancarkan 2,128 unit dengan RM853 GDV.

 

"Kumpulan turut menyasarkan untuk membangunkan pangsapuri servis KITA Sejati, rumah teres satu dan dua tingkat KITA Bestari serta rumah bandar dua tingkat pada 2022 di perbandaran KITA @ Cybersouth,” katanya. 

 

Selain itu, beliau turut menyatakan bahawa terdapat rancangan untuk melancarkan fasa baharu pangsapuri servis Melodi Perdana di perbandaran LBS Alam Perdana dan Astella di D'Island Residence.

 

Projek baharu lain termasuk pangsapuri Bayu Hills di Genting Highlands (642 unit dengan jumlah GDV RM492 juta), rangkaian kluster satu tingkat Taman Kinding Flora dan rumah teres di Chemor, Perak (248 unit dengan jumlah GDV RM64 juta), serta rumah teres satu tingkat Emerald Garden 3, rumah berkembar dua tingkat Royal Garden dan rumah teres dua tingkat Laman Bayu 4 di Bandar Putera Indah, Johor (239 unit dengan jumlah GDV RM108 juta). -DagangNews.com